Penjawat Awam Tidak Lagi Wajib Pakai Tali Leher Semasa Kerja, Mesyuarat – JPA

LocalPolitics
31 Oct 2025 • 11:08 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Semua penjawat awam kini tidak lagi diwajibkan memakai tali leher semasa waktu bekerja dan ketika menghadiri mesyuarat, menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Arahan itu dinyatakan dalam Surat Edaran bertarikh 31 Oktober 2025 yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Penjawat Awam Tidak Lagi Wajib Pakai Tali Leher

Keputusan ini selaras dengan pendekatan pentadbiran Kerajaan MADANI sejak November 2022 yang menekankan suasana kerja lebih fleksibel dan mesra rakyat tanpa menjejaskan profesionalisme penjawat awam.

image is not available

“Dalam mengambil kira realiti iklim tempatan serta keperluan langkah kecekapan dan penjimatan tenaga mengikut Surat Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2014, kerajaan bersetuju agar semua pegawai awam tidak lagi diwajibkan memakai tali leher semasa bekerja dan ketika menghadiri mesyuarat,” katanya.

Bagaimanapun, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan menegaskan pemakaian tali leher masih diwajibkan bagi majlis rasmi tertentu, termasuk sambutan ketibaan ketua delegasi asing ke negara ini, serta mesyuarat, kolokium atau persidangan antarabangsa yang melibatkan pemimpin atau pembesar dari luar negara.

image is not available

Selain itu, kementerian atau jabatan boleh menetapkan keperluan pemakaian tali leher bagi majlis atau program tertentu, dengan syarat perkara tersebut dinyatakan dengan jelas dalam surat atau e-mel jemputan bagi mengelakkan kekeliruan.

image is not available

JPA turut memaklumkan bahawa selaras dengan ketetapan baharu ini, kewajipan pemakaian tali leher seperti yang dinyatakan dalam Perenggan A.5 Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian UP.7.2.3 mengenai Etiket Pakaian dan Penampilan Pegawai Awam kini dikecualikan daripada pelaksanaan.