Penjual aiskrim maut dihempap pokok tumbang

LocalEnvironment
19 Oct 2024 • 9:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan motosikal dinaiki mangsa yang maut dihempap pokok tumbang di Jalan Air Terjun Sungai Pandan, Felda Panching di sini pada Sabtu.

image is not available
Mangsa dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan bomba, namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Seorang peniaga aiskrim warga Kemboja maut akibat dihempap pokok tumbang ketika menunggang motosikal di jalan menuju Air Terjun Sungai Pandan, Felda Panching, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian yang dilaporkan kira-kira jam 5.55 petang itu, mangsa, Sen Sauat, 29, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari berniaga aiskrim di kawasan Air Terjun Sungai Pandan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, angin kuat melanda bersama hujan lebat menyebabkan pokok itu tumbang dan menghempap mangsa.

"Semasa kejadian dipercayai hanya mangsa yang melalui jalan tersebut," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, susulan maklumat diterima, anggota polis ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira jam 6 petang.

"Pegawai perubatan yang berada di tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) menggunakan kenderaan polis untuk proses bedah siasat," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dsn Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas ke lokasi untuk bantuan.

Menurutnya, ketika pihak bomba tiba di lokasi mendapati mangsa telah dikeluarkan orang awam dan disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pokok tumbang menghempap mangsa juga sudah dibersihkan orang awam," katanya.

Zulfadli berkata, pihaknya melakukan pemantauan di lokasi sebelum operasi ditamatkan.