Antalya, Turki – Seorang peniaga bunga, Eşref Yunus Yıldırıcı, 29, maut selepas ditumbuk dalam kejadian yang dipercayai berpunca daripada perselisihan di media sosial. Suspek, Kıvanç Şensöz, 31, seorang bekas peninju, kini menghadapi tuduhan membunuh dengan niat dan berdepan hukuman penjara seumur hidup.
Perselisihan bermula di media sosial
Difahamkan, kejadian itu bermula apabila isteri suspek, Dara Şensöz, memuat naik foto dirinya bersama sejambak bunga di akaun perniagaan mereka. Foto tersebut kemudian dimuat naik semula oleh adik mangsa, Firdevs Yıldırıcı, di akaun media sosial perniagaan keluarganya, tanpa menampilkan wajah Dara.

Tindakan itu mencetuskan kemarahan Kıvanç yang terus menghubungi mangsa dan menuduh mereka mencuri hasil kerja serta melemparkan kata-kata kasar, termasuk ancaman seperti “Saya akan putuskan leher kamu.”
Firdevs kemudian memohon maaf dan memaklumkan gambar tersebut akan dipadamkan segera. Namun, suspek tetap bertegas ingin bersemuka dengan mangsa.
Pertemuan berakhir tragedi
Sebagai wakil kepada adiknya, Eşref Yunus bersetuju untuk bertemu dengan suspek di sebuah premis di Altınova, Kepez, sekitar jam 7 malam pada 12 Oktober. Dalam pertemuan tersebut, Kıvanç dilaporkan menumbuk Eşref sehingga terjatuh. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek turut menendang Eşref yang ketika itu sudah tidak sedarkan diri.
Seorang Pria (29thn) Penjual Bunga Di Turki Menggunakan Foto Istri Orang Lain Tanpa Ijin Untuk Mempromosikan Rangkaian Bunga Miliknya, Menyebabkan Suami Wanita Itu Memukulnya Dan Meninggal Sebab Pukulan Itu. https://t.co/oB9Tpfvs2J
Mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Kepez. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian akibat kecederaan serius termasuk retak tengkorak dan pendarahan otak, seperti dinyatakan dalam laporan bedah siasat.
Suspek mendakwa tiada niat untuk membunuh dan tindakan itu hanya untuk mempertahankan diri.
“Saya hanya menumbuk sekali, kemudian baru sedar saya juga telah menendang mangsa setelah menonton rakaman,” kata suspek semasa perbicaraan pertama yang diadakan baru-baru ini.
Keluarga mangsa dakwa suspek sengaja membunuh
Firdevs Yıldırıcı, adik mangsa, menegaskan bahawa suspek mempunyai niat membunuh, dengan merujuk kepada ancaman yang dibuat sebelum kejadian.
“Dia berkata akan memusnahkan keluarga kami. Dia seorang bekas peninju dan tahu bahaya setiap pukulan yang dilakukan,” ujarnya.


Sementara itu, saksi kejadian, Ali Okur, yang merupakan bapa saudara mangsa, turut mengesahkan suspek bertindak agresif dan tidak mahu dihentikan semasa kejadian.
“Saya cuba menghentikannya, tetapi dia menyuruh saya tidak campur tangan,” katanya.
Kes ini kembali menjadi perhatian media kerana perbicaraan pertama suspek berlangsung di Mahkamah Jenayah Berat Antalya baru-baru ini. Mahkamah memutuskan untuk meneruskan penahanan suspek sehingga perbicaraan seterusnya, di mana rekod panggilan telefon antara mangsa dan suspek akan dikemukakan.
Sumber: Hurriyet
The post Penjual bunga guna gambar isteri orang tanpa izin, mati ditumbuk bekas peninju appeared first on The Reporter.
