
Kota Kinabalu: Seorang warga Pakistan berusia 44 tahun didenda sejumlah RM6,000 kerana melakukan kesalahan berkaitan farmasi.
Irfan Khan Mir Akbar mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ummu Khaltom Abdul Samad, atas empat pertuduhan terhadapnya.
Bagi pertuduhan pertama, dia didenda RM800 atau penjara 15 hari kerana menjual produk Candy B+ Complex mengandungi racun Tadalafil, secara runcit tanpa lesen pada pukul 2.30 petang, 9 Okt 2019 di Bilal Enterprise di Cyber Square di Kg Sunduow, Kepayan.
Tadalafil disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta Racun 1952.
Kesalahan di bawah Seksyen 16(1) Akta Racun 1952 itu boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM3,000, atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Irfan diperintahkan membayar denda RM1,200 atau penjara 30 hari kerana mempunyai Candy B+ Complex mengandungi racun Tadalafil di tempat dan masa yang sama untuk dijual secara haram.
Bagi pertuduhan ketiga, dia didenda RM3,000 lagi atau penjara 45 hari kerana menjual tujuh jenis produk tidak berdaftar di tempat dan masa yang sama.
Antara produk tersebut ialah 18 kotak Freshcare Lavender, 13 kotak Freshcare Strong, 12 kotak Freshcare Sports, 11 kotak Freshcare Citrus, sepuluh kotak Freshcare Greentea, tiga kotak Blue Wizard dan 23 kotak BL.
Bagi pertuduhan keempat, Irfan didenda RM1,000 atau penjara 30 hari kerana mempunyai dua jenis kosmetik iaitu 12 kotak Jiaoli dan sembilan kotak Collagen Plus Vit E, tanpa notifikasi di tempat dan masa yang sama.
Pegawai Pendakwa Lai Teck Peng dari Jabatan Farmasi menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana Irfan melakukan kesalahan yang boleh membahayakan kesihatan orang ramai akibat perbuatannya itu.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
