
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 44 tahun didenda RM3,000 atau penjara dua minggu kerana menjual empat jenis produk pemutih dan pencerah yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.
Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz menjatuhkan hukuman itu ke atas Abu Barra Berahim yang mengaku bersalah kepada pertuduhan terhadapnya.
Abu didapati mempunyai produk pemutih dan pencerah yang tidak berdaftar, pada pukul 7.30 malam 29 Nov 2019 di Kedai Hanney Ladys di Pusat Komersial Megalong, Penampang.
Produk tidak berdaftar itu ialah 17 kotak Wink White Morosil S, tujuh kotak Wink White Gluto Pancea, lima botol Colla Rich Collagen dan tiga bekas Prime CL Tri-Peptide.
Abu melakukan kesalahan itu di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Semasa rayuan, Abu yang tidak diwakili, meminta hukuman ringan dengan mengatakan bahawa dia tidak tahu produk itu tidak boleh dijual.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Lavinia Kong Jin Qi dari Jabatan Farmasi, menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi melindungi keselamatan dan kesihatan orang ramai.
Kong berhujah bahawa semua ubat yang akan dijual di pasaran Malaysia, mesti berdaftar dengan Kementerian Kesihatan kerana tujuan pendaftaran adalah bagi memastikan keselamatan dan kualiti produk untuk kegunaan orang ramai.
Tambahnya, dengan melakukan kesalahan itu, ia boleh membahayakan kesihatan orang ramai kerana produk itu tidak berdaftar di Kementerian Kesihatan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
