Penolong jurutera didakwa terima suapan RM12,200 daripada kontraktor

LocalPolitics
27 Jul 2026 • 2:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penolong jurutera didakwa terima suapan RM12,200 daripada kontraktor
Yusri (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu atas lima pertuduhan menerima wang suapan berjumlah RM12,200.
Image from: Penolong jurutera didakwa terima suapan RM12,200 daripada kontraktor
​Yusri didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

KUALA TERENGGANU - Seorang penolong jurutera kanan di sebuah agensi pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kemaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas lima pertuduhan menerima wang suapan berjumlah RM12,200 daripada dua individu berkaitan tugas rasminya.

​Tertuduh, Yusri Yunus, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

​Mengikut pertuduhan pertama, Yusri didakwa menerima wang tunai RM5,000 tanpa balasan daripada Pengarah Syarikat Giat Consult menerusi pindahan akaun Bank Islam Malaysia Berhad milik syarikat berkenaan ke akaun CIMB miliknya pada 3 Mac 2015.

​Bagi pertuduhan kedua hingga kelima, tertuduh didakwa menerima empat transaksi wang berjumlah RM7,200 daripada pemilik RA Technical Services menerusi akaun Maybank syarikat itu ke akaun CIMB miliknya.

​Empat transaksi berkenaan membabitkan RM1,300 pada 27 Januari 2015; RM1,950 (9 Jun 2015); RM1,950 (26 Februari 2016) dan RM2,000 (12 Mei 2016).

**media[3596180]**

​Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di daerah Kemaman ketika tertuduh berkhidmat sebagai penjawat awam yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.

​Yusri didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

​Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amalina Najwa Mohd Ali dan Pegawai Pendakwa, Nur Raihan Mohd Yusof manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Nur Faid Afiq Aziz.

​Pihak pendakwaan pada mulanya memohon jaminan RM20,000 bagi kesemua pertuduhan.

​Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kemaman setiap bulan sebelum 5 haribulan, bermula Ogos ini sehingga kes selesai.

Selain itu, tertuduh turut dilarang mengganggu saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan serta diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah.

​Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Ogos depan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved