Kota Kinabalu: Seorang penolong pendaftar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berusia 53 tahun dibebaskan daripada pertuduhan membuat kad pengenalan palsu.
Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat melepas dan membebaskan Safiah Alijang, tanpa memintanya membela diri pada Selasa.
Mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Safiah, dan dengan itu dia dilepaskan dan dibebaskan.
Safiah didakwa membuat dokumen palsu bernombor siri 991207-12-5135 atas nama Muhamad Daniel Hafiez bin Arif @ Jali pada jam 3.05 petang, 22 Mei 2013 di JPN cawangan Pitas.
Kesalahan mengikut Seksyen 463/465 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Safiah yang digantung kerja sementara kerana kesnya berkata, dia berasa lega apabila mendengar keputusan itu dan merasakan ‘beban’ di dadanya sudah hilang.
Pihak pendakwaan telah memanggil 18 saksi dalam perbicaraan itu.
Timbalan Pendakwa Raya Nartiah F.M Sambatan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjalankan pendakwaan, manakala peguam Azhier Farhan Arisin mewakili Safiah.
Mahkamah memerintah semua barang kes dikembalikan kepada pihak pendakwaan dalam tempoh 14 hari mulai Selasa jika tiada rayuan difailkan terhadap keputusan itu.
Jumlah wang jaminan juga perlu dikembalikan kepada penjamin.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

