
TAWAU: Seorang penolong pengurus besar berusia 50 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap empat pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan penjualan sisa emas milik syarikat tempat beliau bekerja kepada sebuah kedai emas di Raub, Pahang berjumlah RM230,000.
Brando Pang Tze Chiang membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Faizadh Yahaya atas pertuduhan yang dibacakan kepadanya pada Khamis.
Bagi pertuduhan pertama Pang didakwa menerima RM75,000 dalam akaun banknya daripada Kedai Emas Sri Hawa yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di cawangan Hong Leong Bank Berhad Tawau antara 17 April 2021 dan 28 Oktober 2021.
Bagi pertuduhan kedua dia dituduh menerima RM60,000 daripada akaun Maybank milik kedai emas yang sama ke dalam akaun Hong Leong Bank miliknya di cawangan Tawau antara 6 Mei 2022 dan 2 Februari 2023 hasil daripada aktiviti sama.
Bagi pertuduhan ketiga Pang dituduh menerima RM55,000 daripada akaun Maybank kedai emas tersebut ke dalam akaun Public Bank Berhad miliknya di cawangan Damansara Utama antara 17 April 2021 dan 28 Oktober 2021 hasil aktiviti haram sama.
Bagi pertuduhan keempat dia didakwa menerima RM40,000 daripada akaun Maybank kedai emas yang sama ke dalam akaun Public Bank miliknya di Damansara Utama antara 5 Mei 2022 dan 2 Februari 2023.
Mahkamah menetapkan 2 Disember tahun ini untuk sebutan semula kes dan turut melanjutkan jaminan yang ditawarkan oleh Mahkamah Majistret pada Rabu iaitu sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin tempatan.
Pada Rabu Pang telah dibawa ke Mahkamah Majistret untuk menghadapi pertuduhan berkenaan namun tiada pengakuan direkodkan daripadanya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta yang sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.


