
Kota Kinabalu: Seorang penoreh getah sambilan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tirinya yang bawah umur.
Lelaki berusia 47 tahun itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim atas pertuduhan berbaring atas remaja perempuan berusia 14 tahun itu untuk tujuan seksual, pada jam 11 malam 14 Nov tahun ini di dalam bilik tidur sebuah rumah di sebuah kampung di Papar.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama kerana dia mempunyai hubungan amanah dengan remaja itu sebagai bapa tirinya.
Seksyen 14(a) Akta itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan, manakala Seksyen 16(1) Akta sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sekurang-kurangnya dua sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 17 Jan ini untuk sebutan dan memerintahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam, direman lanjut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang.
Sementara itu, lima orang dijatuhi hukuman kerana melakukan kesalahan berkaitan dadah.
Severinus Binsun, Jumansyah Ahamat dan Ahmad Noh mengaku bersalah mengambil syabu di lokasi berasingan di sini, dan di Penampang.
Severinus diperintah membayar denda RM3,500 atau penjara sembilan bulan, sementara Jumansyah dan Ahmad masing-masing didenda RM2,000 atau penjara lapan bulan dan empat bulan.
Mengambil dadah mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.
Dominic Gintua dan Fali Tony masing-masing dipenjara enam bulan dan lima bulan selepas tertuduh mengaku memiliki syabu pada 23 Sept.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Inspektor Kelvan Elson Maik menjalankan pendakwaan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
