
NABAWAN: Penduduk di Mukim Pensiangan terputus hubungan apabila berlaku tanah runtuh di jalan Sepulut - Pensiangan malam Khamis lepas.
Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah, Alan Arthur Angian, ketika mengesahkan kejadian itu berkata, lokasi kejadian adalah di Jalan Pensiangan di dalam Kawasan Hutan simpan lebih kurang 20 kilometer dari Kampung Lotong, Sepulut.
Katanya, jalan itu bukan milik JKR dan ia berada di dalam kawasan Jabatan Perhutanan.
“Sehubungan dengan ini pihak Pejabat Daerah Nabawan telah bertindak meminta bantuan kontraktor dan dalam proses menghantar jentera ke lokasi kejadian” katanya kepada Harian Ekspres ketika dihubungi.
Pada masa sama, katanya, JKR turut memberi bantuan dengan mengarahkan kontraktor penyelenggaraan jalan yang berdekatan membantu melakukan kerja pembersihan jalan yang tertimbus dengan runtuhan tanah, batu dan kayu.
“Dijangka lokasi terlibat dalam kejadian tanah runtuh itu boleh dilalui lewat petang atau esok “ katanya pada Jumaat.
Sementara itu Wakil Ketua Anak Negeri Mukim Pensiangan John Endim ketika dihubungi berkata, sejak awal pagi jalan itu tidak boleh dilalui kerana runtuhan tanah, batu dan kayu dari bukit menghalang laluan.
Katanya, beliau menerima makluman daripada warga pendidik yang kembali ke Pensiangan bahawa lokasi di mana berlakunya tanah runtuh itu tidak boleh dilalui.
Menurut John, jika runtuhan tanah itu tidak diambil tindakan ramai penduduk termasuk guru-guru yang keluar pada hujung minggu ini untuk mendapatkan bahan-bahan keperluan harian dan penduduk yang kembali ke kampung halaman terperangkap.
“Kita berharap jabatan dan agensi yang berkaitan mengambil tindakan segera menyelanggara jalan itu bagi membolehkan penduduk melalui jalan itu dan menjalankan urusan masing-masing seperti biasa” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
