
SHAH ALAM - Semua akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ahli di bawah umur 55 tahun akan distruktur semula kepada tiga iaitu Akaun Persaraan, Sejahtera dan Fleksibel bermula 11 Mei 2024.
KWSP dalam satu kenyataan berkata, baki dalam akaun satu dan dua masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar.
Menurutnya, semua caruman selepas tarikh berkenaan akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan iaitu sebanyak 75 peratus ke dalam Akaun Persaraan, 15 peratus Akaun Sejahtera dan 10 peratus Akaun Fleksibel.
"Akaun ahli KWSP akan distruktur semula daripada dua kepada tiga iaitu pertama akaun Persaraan untuk mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan dan kedua Akaun Sejahtera menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan.
"Bagi Akaun Fleksibel pula, ia berfungsi sebagai akaun baharu untuk menyediakan fleksibiliti untuk keperluan kewangan jangka pendek. Simpanan dalam akaun ini boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli," jelasnya pada Khamis.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, fokus utama inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP adalah untuk memperkasa ahli dalam membuat keputusan.
"Diharapkan ia dapat mengimbangi keperluan masa depan untuk persaraan dengan keperluan kewangan jangka pendek, sederhana dan panjang.
"Inisiatif ini juga dapat membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli supaya mereka menerima pendapatan persaraan yang mencukupi untuk membiayai kehidupan persaraan mereka kelak,” jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

