Pensyarah bebas tuduhan pandu bahaya, sebabkan kematian

8 Dec 2022 • 4:53 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seorang pensyarah berumur 65 tahun, yang didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal tiga tahun lalu, dibebaskan daripada tuduhan itu pada Selasa.

Majistret Stephanie Sherron Abbie melepaskan dan membebaskan Sibley Dading daripada pertuduhan itu tanpa memintanya membela diri.

Dalam keputusannya, Stephanie memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap Sibley.

Sibley didakwa memandu kereta secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal, Abas Mardasir pada jam 1 tengah hari 7 Nov 2019 di simpang Petronas KKIP, Jalan Politeknik, dekat sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan yang membawa hukuman penjara antara dua dan 10 tahun, serta denda antara RM5,000 dan RM20,000, jika sabit kesalahan.

Tujuh saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan di peringkat pendakwaan.

Sibley diwakili peguam PJ Perira dan Ariel Dasan.

Pegawai pendakwa trafik Mohammad Khairul Nizam Mokhtar menjalankan pendakwaan.

Dalam kes lain, seorang pemilik premis hiburan didenda RM3,500 atau penjara empat bulan kerana mengendalikan premis itu melebihi masa yang dibenarkan.

Lee Jiun Ming, 44, mengaku bersalah membuka Maple Karaoke Lounge, di Pekan Koidupan, Penampang pada jam 1.20 pagi pada 4 Ogos 2022 melebihi masa yang dibenarkan.

Majistret Lovely Natasha Charles dimaklumkan oleh pihak pendakwaan bahawa sepasukan polis yang menjalankan operasi pergi ke premis itu dan mendapati ia masih beroperasi melebihi jam 1 pagi seperti ditetapkan dalam lesen premis.

Lee telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Hiburan Awam 1958 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 11 Ordinan sama, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lee, yang tidak diwakili peguam, memohon denda rendah sementara pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal.

Pendakwaan dilakukan oleh Inspektor Kelvan Elson Maik.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.