Pensyarah Perlu Jadi 'Role Model', Bukan Seperti Haruan Makan Anak

27 Aug 2022 • 11:21 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pelajar yang berdepan dengan gangguan seksual akan mengalami kemurungan, justeru mereka perlu mendapatkan rawatan segera. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang pensyarah sepatutnya menjadi suri teladan atau cerminan yang baik kepada pelajar, bukan menjadi pemangsa seksual kepada mereka.

Pakar psikologi dan kaunseling, Dr Fauziah Mohd Saad berkata, golongan pensyarah adalah pihak kedua paling tinggi selepas ibu bapa, yang berperanan untuk membimbing dan mendidik pelajar.

"Sebagai seorang pensyarah, dia sepatutnya jadi 'role model' atau cerminan kepada pelajar dan tidak wajar menjadi seperti haruan makan anak. 

"Dalam konteks ini juga, pensyarah tersebut mencari rezeki,  jadi tidak eloklah buat perkara tidak elok," katanya ketika dihubungi Getaran hari ini.

Beliau diminta mengulas beberapa kes gangguan seksual didakwa dilakukan oleh pensyarah, termasuk yang tular di media sosial baru-baru ini.

Dalam kejadian tersebut, pensyarah berkenaan dikatakan memberi soalan berunsur lucah kepada penuntut, kononnya bagi tujuan kaji selidik.

Dalam perkembangan berkaitan, Fauziah menambah, selalunya pelajar yang mengalami isu gangguan seksual akan berdiam diri justeru, aspek sokongan perlu dititikberatkan termasuk dengan adanya kumpulan (support group) terdiri daripada rakan-rakan, kaunselor dan juga pensyarah lain. 

Dengan adanya kumpulan sokongan terbabit jelasnya, isu gangguan seksual tersebut dapat disekat daripada berleluasa.

Mengulas mengenai tindakan wajar diambil ke atas pensyarah terbabit, Fauziah berkata, pihak universiti perlu memanggilnya untuk membuat ujian saringan kesihatan mental dan mendapat rawatan jika terbukti dia bermasalah.

"Kalau dia bersalah, perlu ada tindakan tegas oleh pihak universiti agar perkara ini tidak berulang dengan memberi hukuman kepada pensyarah tersebut. Boleh juga membantunya mendapatkan rawatan yang sewajarnya sebab kita tidak tahu mengapa beliau menjadi seperti itu. 

"Mungkin sebab individu seperti ini ada isu persekitaran, ada ketidakseimbangan kimia dalam otaknya, mungkin dia selalu tengok cerita lucah. Banyak faktor boleh mencetuskan seseorang boleh menjadi 'sexual disorder'," katanya.

image is not available
Alimuddin Mohd. Dom - Gambar fail

Dalam pada itu, tokoh pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, golongan tenaga pendidik diingatkan sentiasa peka dengan peraturan serta etika mengajar sedia ada dan tidak bertindak luar batasan, sehingga melakukan perkara yang tidak sepatutnya seperti gangguan seksual.

Beliau memberitahu, peraturan dan etika sebagai pengajar berkenaan yang merangkumi penekanan dalam isu sensitif perlu dijadikan rujukan golongan tersebut.

"Secara umumnya, memang ada peraturan dan juga etika untuk tenaga pengajar sama ada guru atau pensyarah. Banyak perkara yang ditekankan misalnya bercakap tentang isu sensitif yang boleh menimbulkan isu kaum, seksual atau perkataan yang tidak sesuai semasa mereka mengajar atau memberi ceramah.

"Itu memang ada dalam peraturan, jadi gangguan seksual ini adalah satu isu dan ada undang-undang yang berkait dengan perkara ini dan banyak saya dengar kes yang telah dibawa ke mahkamah. Bagi saya, guru dan pensyarah perlu beri perhatian untuk mengelakkannya," katanya.

Ditanya apa cadangannya kepada kerajaan dalam usaha menangani gejala terbabit, Alimuddin menjelaskan, ia melibatkan kesedaran.

"Saya rasa pihak perkhidmatan awam memang telah jelas perkara ini jadi saya harap bagi kakitangan kerajaan, perlu melihat kembali apa perkara yang boleh atau tidak semasa mereka menjalankan tugas.

"Saya rasa bagi guru memang sudah masuk dalam etika perkhidmatan mereka. Jadi ingatan perlu diberikan terutama oleh pengetua atau pegawai yang lebih tinggi untuk mengelakkan perkara ini daripada berlaku," katanya. - Getaran, 27 Ogos 2022

View Original Article