
KUALA LUMPUR - Orang ramai dirayu membantu mengesan seorang pensyarah universiti, Haslina Abdullah yang dilaporkan hilang akhir bulan lalu.
Haslina, 52, yang bertugas di Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) di sini, dilaporkan hilang selepas dihantar suaminya, Jafri Ab Rahman, 53, ke universiti tersebut pada jam 8.30 pagi, 28 Mac lalu.
Menurut laporan, beliau tidak dapat dihubungi dan lokasinya masih belum diketahui sehingga hari ini.
“Kami sangat risau tentang keselamatan ibu. Tiba-tiba beliau hilang tanpa jejak dan kami benar-benar berharap ada yang dapat membantu mencarinya,” kata anak perempuan pensyarah tersebut, Ainon Atikah Jafri.
Jelas Ainon, satu laporan polis telah dibuat dan mereka merayu kepada sesiapa yang mempunyai maklumat atau pernah melihat Haslina untuk segera menghubungi keluarganya atau pihak berkuasa.
Dalam perkembangan berkaitan, anak sulung Haslina, Mohamad Zuljawalil Ikram Jafri, 30, berkata wanita berkenaan sepatutnya dijemput Jafri di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sentul Timur pada jam 4 petang hari yang sama.
“Ibu malangnya tidak muncul-muncul, malah semua panggilan dan mesej kami juga tidak berjawab,” katanya.
Jafri pula memberitahu, mereka merancang untuk pulang ke kampung di Temerloh untuk menyambut Hari Raya selepas menjemput isterinya itu.
“Kami juga telah mencari di setiap tingkat UNITAR bersama pihak pengurusan tetapi tidak menemui beliau,” katanya.
Katanya, laporan orang hilang dibuat di Balai Polis Sentul selepas segala usaha mencari Haslina menemui jalan buntu.
Getaran difahamkan, Haslina juga menghidap masalah tiroid yang kadangkala boleh menyebabkan keletihan dan kemurungan.
Pada hari kehilangannya, beliau memakai tudung hitam dan pakaian berwarna gelap.
Jafri merayu sesiapa yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Zuljawalil di 013-4257842 atau adiknya, Ainon, di 013-9134992. – Getaran, 2 April 2025

