Pentadbiran Awam Perlu Berani Tinggalkan Kepompong Lama, Lakukan Anjakan Besar - PM

LocalPolitics
7 Oct 2025 • 7:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Perdana Menteri berucap di Persidangan ASEAN: Perkhidmatan Awam Bersedia Menghadapi Masa Hadapan hari ini - Gambar PMO

KUALA LUMPUR - Sistem pentadbiran awam negara perlu berani keluar daripada kepompong peraturan lama dan bersedia melakukan anjakan besar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua perubahan itu perlu demi memenuhi tuntutan zaman yang semakin kompleks serta mencabar.

Menurut beliau, kesemua aspek berkenaan ditekankan sewaktu merasmikan Persidangan ASEAN: Perkhidmatan Awam Bersedia Menghadapi Masa Hadapan hari ini.

“Dalam era yang dipacu oleh teknologi, perubahan iklim, dan desakan rakyat terhadap ketelusan, perkhidmatan awam perlu menjadi lebih tangkas, inovatif dan berani mencuba pendekatan baharu yang lebih relevan serta responsif terhadap keperluan semasa,” katanya.

Jelas Anwar, kekuatan sebenar perkhidmatan awam tidak hanya terletak pada pematuhan prosedur, tetapi juga pada keupayaan untuk menyesuaikan diri, bertindak pantas dan berkesan dalam menghadapi cabaran baharu.

“Saya juga mengingatkan bahawa kejayaan institusi kerajaan bukan bergantung kepada individu semata-mata, tetapi kepada sistem dan struktur yang kukuh, lestari dan mampu beradaptasi dengan perubahan zaman,” katanya.

Sementara itu Perdana Menteri dipetik Bernama sebagai berkata, pelan peralihan tenaga kini membuka peluang kepada pembangunan kemahiran dan penciptaan pekerjaan baharu sambil memastikan kedudukan fiskal negara kekal kukuh.

image is not available
Gambar PMO

Mengulas lanjut beliau berkata, langkah seterusnya ialah menghubungkan semua reformasi ini agar kerajaan dapat berfungsi sebagai satu entiti yang padu,

"Kejayaan diukur melalui masa yang dijimatkan, kejelasan yang dicapai serta keyakinan rakyat bahawa data dan maruah mereka sentiasa dilindungi," katanya.

Anwar menarik perhatian, tujuan utamanya ialah untuk memudahkan kehidupan serta menjadikan perkhidmatan lebih berteraskan nilai kemanusiaan, meskipun teknologi seperti analisis data dan kecerdasan buatan (Al) terus mengubah landskap tabdir urus.

"Langkah berikutnya ialah memastikan kesalingoperasian - rakyat hanya perlu memberikan butiran peribadi mereka sekali sahaja, dan kerajaan hendaklah menggunakan maklumat itu secara bertanggungjawab merentasi pelbagai agensi.

"Setiap interaksi mesti meninggalkan jejak audit yang membina kepercayaan awam, bukannya menuntut...kerajaan digital seharusnya meringankan beban rakyat, bukan menambahkannya," katanya. - Getaran, 7 Oktober 2025