
KUALA LUMPUR – Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 Negeri Sembilan semalam berlangsung dalam suasana luar biasa apabila Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin tidak hadir, sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai hubungan institusi adat dengan pentadbiran negeri.
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menegaskan pentadbiran kerajaan negeri tetap wajar diteruskan demi kelangsungan rakyat.
“Beta berdoa kepada Allah SWT supaya negeri dan rakyat beta terus diberikan kesejahteraan dan hidup dalam suasana harmoni melalui kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun bersama barisan exco kerajaan negeri.
Beta berasa amat bersyukur kerana kerjasama kukuh dalam kerajaan beta terus menunjukkan prestasi yang amat cemerlang pada tahun lepas,” titah baginda.
Tuanku Muhriz turut menekankan bahawa walaupun tanpa kehadiran pembesar negeri yang lazimnya mengiringi baginda, ia tidak menjejaskan keabsahan mahupun kelancaran persidangan.
“Walaupun dengan ketidakhadiran pembesar negeri yang lazimnya mengiringi beta pada setiap perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri, keadaan itu tidak menjejaskan keabsahan mahupun kelancaran persidangan berkenaan,” titah baginda.
Kehadiran Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud memberi simbolik sokongan istana, namun ketidakhadiran Undang Yang Empat menimbulkan spekulasi tentang pergeseran dalaman adat perpatih.
Tuanku Muhriz dalam titahnya menegaskan bahawa pentadbiran negeri mesti berfungsi seperti biasa, dengan fokus kepada kepentingan rakyat dan kelangsungan tadbir urus.
Tegas Tuanku Munawir, negeri itu mencatat sejarah sebagai negeri pertama mengekalkan status sifar miskin tegar secara konsisten sejak 2023 hingga tahun ini, walaupun berdepan ketidakhadiran pembesar adat pada pembukaan DUN yang mencetuskan kontroversi.
Baginda bertitah pencapaian itu hasil intervensi bersasar dan pemantauan rapi, dengan ribuan Ketua Isi Rumah (KIR) berjaya keluar daripada kategori miskin tegar.
“Setiap KIR yang berjaya dibantu melambangkan pemulihan masa depan sebuah keluarga. Sehubungan itu, beta mahu usaha ini diteruskan dengan lebih agresif, berfokus dan berintegriti tanpa ada yang tercicir atau terlepas daripada radar tindakan,” titah baginda.
Sejak penghujung 2023, sebanyak 3,530 KIR dikeluarkan daripada kategori miskin tegar, diikuti 1,697 KIR pada 2024, 2,275 KIR pada 2025 dan 1,106 KIR sehingga Januari 2026, menjadikan Negeri Sembilan negeri pertama mengekalkan status sifar miskin tegar selama empat tahun berturut-turut.
“Ia bagi memastikan Negeri Sembilan terus kekal sebagai contoh negeri yang bukan sahaja maju dari segi pembangunan fizikal malah unggul dalam menjamin kesejahteraan sosial rakyatnya,” titah baginda.
Tuanku Muhriz turut menzahirkan kebanggaan terhadap pencapaian pendidikan, termasuk peningkatan Gred Purata Negeri (GPN) STAM 2025 kepada 2.33 mata, serta kecemerlangan Sekolah Menengah Agama Dato’ Haji Mustafa dan Maahad Ahmadi dengan GPN cemerlang 1.81 mata.
Baginda juga mengiktiraf kejayaan SMK Tuanku Ampuan Najihah (Noghori Arts School) yang mengharumkan nama negeri di Ekspo 2025 Osaka, Jepun.
Menyentuh sektor pelancongan, baginda menekankan pengisytiharan Tahun Melawat Negeri Sembilan (TMNS) selepas 27 tahun sebagai detik penting untuk memperkasa ekopelancongan, pelancongan pantai dan Adat Perpatih.
“Beta menyeru agar inisiatif ini tidak terhenti setakat ini sahaja sebaliknya diteruskan secara konsisten dan berkesinambungan pada tahun seterusnya,” titah baginda.
Sebagai Ketua Agama Negeri, Tuanku Muhriz mahu masjid dan surau dijadikan pusat pengembangan ilmu serta ekonomi umat Islam, selain memperkukuh syiar Islam di Negeri Sembilan. - 23 April, 2026
The post Pentadbiran negeri terus berfungsi walau Undang Yang Empat tidak hadir: Tuanku Muhriz appeared first on Scoop.





