Pentagon Bertelagah Dengan Anthropic Kerana Halang Penggunaan AI Untuk Senjata dan Pemantauan Domestik

WorldTechnology
30 Jan 2026 • 10:11 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Tahun lalu Anthropic adalah antara syarikat kecerdasan buatan (AI) yang menerima kontrak $200 juta dari Pentagon untuk tujuan ketenteraan. Tetapi menurut laporan Reuters, hubungan antara Pentagon dan Anthropic kini tegang kerana syarikat tersebut menghalang penggunaan AI mereka pada sistem penyasaran senjata autonomi dan pemantauan domestik.

image is not available

Pentagon dilaporkan bertegas mereka berhak menggunakan teknologi komersial mengikut keperluan ketenteraan, tanpa terikat pada polisi penggunaan yang ditetapkan oleh Anthropic asalnya ia masih mematuhi undang-undang Amerika Syarikat. Anthropic pula risau teknologi mereka digunakan untuk mengintip rakyat Amerika atau membantu menyasarkan senjata tanpa pemantauan manusia.

Akibat perbezaan pendapat ini, perbincangan kontrak antara Pentagon dan Anthropic telah terhenti. Setakat ini Google dan xAI adalah dua syarikat yang telah disambung kontrak oleh Jabatan Peperangan Amerika (DoW) untuk menggunakan model AI mereka di bawah inisiatif GenAI.mil. Menerusi inisiatif ini, AI akan dimanfaatkan bagi melakukan tugasan yang lebih cekap dan bersedia untuk peperangan selari dengan Pelan Tindakan AI yang diumumkan Rumah Putih.