
PENYANYI Azharina Azhar, 38, mengganggap pentas All Stars Gegar Vaganza (GV) 2023 sebagai platform untuknya mencabar kemampuan diri sebagai seorang penyanyi.
Walaupun sudah 23 tahun bergelar anak seni, bintang kelahiran Sabah itu merasakan dia masih banyak kekurangan diri yang perlu sentiasa diperbaiki.
“Bagi saya kehidupan ini adalah satu perjalanan untuk kita sentiasa belajar dan memperbaiki kekurangan diri.
“Sebagai artis, untuk memperbaiki kekurangan diri, saya harus mencabar diri. Ilmu itu harus sentiasa dikejar sampailah ke liang lahad. UNTUK persembahan pada konsert minggu kedua Ahad ini, Azharina akan menyanyikan lagu Ayah, nyanyian asal Rinto Harahap.
SPONSORED CONTENT Daily Express members: Enjoy 1 for 1 signature cocktails and more at Hyatt Centric Kota Kinabalu Kota Kinabalu: DAILY EXPRESS is partnering with Hyatt Centric Kota Kinabalu to offer an exclusive deal for our members. Read more “Mungkin ada yang memikirkan ‘kenapa perlu lagi bertanding kalau sudah menang?’ Tapi, bagi saya seorang juara itu juga banyak kekurangan dan banyak melakukan kesilapan.
“Saya tidak melihat penyertaan saya dalam All Stars GV sebagai sesuatu yang negatif. Pokoknya, saya bersyukur kerana diberi peluang untuk menyertai program ini apatah lagi, dapat menimba ilmu daripada maestro Datuk Ramli MS.
“Bukan mudah dan bukan semua diberi peluang untuk berada di posisi saya dan saya akan mengambil peluang ini untuk buat yang terbaik,” katanya ketika dihubungi Hiburan Ekspres, baru-baru ini.
Tidak takut dihakimi
Menurut juara Gegar Vaganza musim ketiga itu, dia juga tidak takut untuk dihakimi mahu pun menerima kritikan pedas daripada barisan juri mahu pun orang awam sepanjang bertanding pada program itu.
“Kalau dihakimi itu adalah satu keperluan sebagai seorang penyanyi, saya tidak mengganggapnya sebagai sesuatu yang negatif.
“Pada akhirnya, sama ada ketika menyanyi di hadapan juri GV atau pun orang ramai, kami perlu sentiasa bersedia untuk dihakimi kerana sifat seorang penyanyi itu adalah untuk memberikan yang terbaik.
“Jika saya ingin berada ke hadapan, saya harus berani untuk dihakimi dan tidak hanya belajar untuk menghakimi,” katanya lagi.
Tambah Azharina, All Stars Gegar Vaganza merupakan pertandingan terbesar yang pernah disertainya sepanjang bergelar penyanyi.
Menurut pelantun lagu Elegi Sepi dan Rawan itu, dia cukup teruja untuk bersaing di samping juara dan bintang Gegar Vaganza yang lain.
“Berbeza dengan GV sebelum ini, kali ini cabaran jauh lebih sukar. Daripada 111 pertandingan nyanyian yang saya pernah saya sertai sejak berusia lima tahun, All Stars GV adalah yang ke-112 dan juga yang terbesar kerana ia turut membabitkan semua bekas juara.
“Sudah tentu untuk bersaing dengan barisan juara ini, saya perlu meningkatkan lagi stamina serta usaha saya, selain perlu banyak buat research dan membabitkan persediaan yang panjang, bahkan berbulan-bulan sebelum All Stars GV bermula.
“Jika GV sebelum ini platform untuk mengangkat semula nama saya sebagai penyanyi, kali ini saya perlu mempertahankan gelaran saya sebagai juara.
“Sebab itu, saya melihat All Stars GV adalah peluang terbaik untuk saya membuktikan kemampuan dan kredibiliti saya, bukan sahaja sebagai penyanyi tetapi juga sebagai penghibur selama 23 tahun bertahan dalam industri,” katanya lagi.
Persembahan minggu pertama All Stars GV pada Ahad lalu menyaksikan Azharina berada di tempat ke-11 dengan markah 59.75 peratus.
Bertemakan lagu pilihan Tok Ram, juara Bintang RTM 2001 itu menyanyikan lagu Angkara yang dipopularkan Siti Nordiana.
Untuk konsert malam Ahad ini, Azharina bakal menyanyikan lagu Ayah nyanyian asal Rinto Harahap.
Sesuai tema iaitu lagu pilihan sendiri, katanya, menyanyikan lagu berkenaan menuntutnya untuk mendalami emosi.
“Peminat-peminat saya harus menonton persembahan saya minggu ini kerana lagu untuk minggu ini sangat istimewa.
“Setiap orang pastinya pernah merasakan pemergian orang yang kita saya sayangi yang lebih dahulu meninggalkan kita. Pastinya kita semua pernah merasakan kehilangan tidak kiralah seorang bapa mahu datuk.
“Figura seorang lelaki dalam hidup saya diri saya itu adalah kedua-dua datuk saya iaitu Datuk Haji M.Y Ahmad dan Brahim bin Sanadi, serta bapa saya sendiri.
“Saya perlu ambil semua itu untuk saya dalami dan susun untuk saya memberikan yang terbaik dalam persembahan saya minggu ini.
“Persiapan lain tentunya, perlu buat ‘homework’ setiap hari. Semua orang sedang tidur saya masih lagi bangun untuk buat tugasan saya.
“Alhamdulillah, saya mempunyai satu pasukan yang bagus yang banyak membantu saya dalam menyusun setiap strategi dan konsep dalam persembahan saya kelak,” katanya lagi.
Rezeki tidak pernah salah alamat
Ditanya mengenai harapannya untuk program berkenaan, kata Azharina, sudah tentu dia mengharapkan kemenangan.
“Setiap yang bertanding, pastinya mengharapkan kemenangan. Begitu juga saya. Tetapi, isi pokoknya adalah saya harap dapat melakukan yang terbaik untuk diri saya dan juga peminat saya.
“Selebihnya bergantung kepada audiens untuk menilai. Pastinya ada yang suka dan ada yang tidak.
“Saya hanya menjalani apa yang ada di hadapan saya dan saya pun mencari rezeki seperti mana orang lain dan saya percaya rezeki itu tidak pernah salah alamat.
“Dan saya sebagai seorang anak seni, saya akan menerima apa adanya yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T,” akhirinya.
All Stars Gegar Vaganza, yang memulakan siarannya minggu lalu, membariskan 10 bekas juara dari musim pertama hingga kesembilan, termasuk Ayai Illusi, Siti Nordiana, Azharina, Datuk Aishah, Noryn Aziz, Naqiu (Boboy), Hady Mirza, Cliff Umar, Aliff Aziz dan Jaclyn Victor.
Turut bertanding pada edisi kali ini adalah Zamani (Slam), Liza Hanim, Ezad Lazim (Exists), Tomok (New Boyz), Nikki Palikat dan Suki Low menerusi tiket ‘hot seat’. Bagaimanapun, tiada penyingkiran untuk minggu pertama.
All Stars GV atau GV musim kesepuluh (GV10) masih mengekalkan formal asal penjurian iaitu berdasarkan pemarkahan 100 peratus barisan juri profesional.
Barisan juri tetap terdiri daripada maestro muzik tersohor Datuk Ramli MS, penyanyi legenda Indonesia Hetty Koes Endang dan guru vokal berpengalaman Datuk Syafinaz Selamat.
Konsert GV10, yang dipancarkan dari Dewan Auditorium MBSA Shah Alam, bersiaran setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (Saluran 104).
Juara GV10 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM200,000 beserta trofi sumbangan Astro.


