Penternak Syak Lembu Miliknya Dibaham Pak Belang

13 Jul 2023 • 9:47 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ada kesan lembu itu diseret masuk ke dalam semak - gambar hiasan

JERTIH -- Seorang penternak lembu dilanda kebimbangan selepas seekor lembu peliharaannya ditemukan mati dipercayai dibaham harimau dekat Kampung Padang Tapong, di sini.

Abdul Latif Othman,  32,  berkata dia menyedari kejadian itu selepas menjumpai bangkai anak lembunya  pada 6.45 petang semalam.

"Terdapat kesan lembu itu diseret masuk ke dalam semak dari kawasan lapang di kebun sawit tempat lembu ternakan saya meragut dan makan.

"Saya terhidu bau busuk dan mengesyaki sesuatu yang tidak kena dengan lembu peliharaan saya sebelum mendapati satu bangkai lembu tidak berkepala dan isi perutnya sudah dikeluarkan," katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut Abdul Latiff, kejadian itu adalah kali pertama sejak dia mengambil alih menternak haiwan tersebut daripada arwah bapanya 10 tahun lepas.

Bagaimanapun, Abdul Latif berkata kesan tapak kaki dan gigitan tidak dapat dilihat dengan jelas kerana hari semakin gelap dan bergegas meninggalkan lokasi kejadian kerana bimbang akan keselamatan diri.

"Saya tak pasti harimau apa yang membaham lembu tersebut sama ada harimau belang atau kumbang kerana kedua-dua spesies ada di kawasan ini, tetapi selama ini tidak pernah mengganggu haiwan ternakan," katanya yang menternak lebih 50 ekor lembu di kawasan tersebut.

Abdul Latif berkata satu laporan telah dibuat kepada Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut. -- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved