Pentingnya Sistem Immobilizer Untuk Sesebuah Kereta, Jika Tidak Ia Mudah Dicuri Seperti Kia Dan Hyundai 

Cars
15 Oct 2022 • 4:59 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar hiasan Pexels

Gelombang kecurian kenderaan Kia dan Hyundai dilaporkan semakin meningkat di kebanyakan tempat di Amerika Syarikat selepas wujudnya cabaran di beberapa media sosial termasuk TikTok yang cuba mengeksploitasikan kelemahan yang terdapat pada kedua-dua kereta buatan Korea itu. 

Bahkan, beberapa pengguna platform media telah berkongsi sebuah video yang menggunakan tanda pagar #Kiaboyz yang mengajar cara-cara mencuri beberapa model kereta Kia dan Hyundai keluaran 2010 hingga 2021.

Model Kia dan Hyundai  keluaran 2010 hingga 2021 itu tidak memiliki sistem keselamatan immobilizer dan cara untuk mencurinya hanyalah dengan menggunakan pemutar skru dan kabel USB dan ia kemudian dijadikan sebagai cabaran kepada pengguna yang lain untuk melakukannya.

image is not available
Gambar hiasan Unsplash

Beberapa tindakan undang-undang sivil telah dikenakan ke aras kedua-dua pembuat Korea itu dan bandar St Louis juga turut menyusul dengan tindakan yang sama. 

Apa tidaknya, sepanjang tahun ini, kecurian kereta Kia dan Hyundai di St Louis telah meningkat dua kali ganda dan mengikuti laporan St. Louis Post-Dispatch, purata kecurian pada bulan Jun sahaja dilaporkan berlakunya sebanyak 21 kes sehari dan jumlah itu meningkat kepada 23 kes sehari pada bulan Ogos. 

Malah, bandar-bandar lain seperti Memphis, Cincinnati, Columbus, and Grand Rapids turut membuat kenyataan umum mengenai peningkatan kecurian kedua-dua jenama kenderaan tersebut. Bahkan, bandar Milwaukee juga mengatakan bahawa pembuat kereta itu perlu “bertanggungjawab” ke atas peningkatan kecurian yang berlaku. 

Sekiranya St. Louis  memfailkan tuntutan mahkamahnya terhadap jenama kereta buatan Korea tersebut, ia akan menjadi bandar pertama yang berbuat demikian.

Menurut laporan dari Fox Business baru-baru ini, sepucuk surat telah dihantar oleh Kaunselor Bandar St. Louis, Sheena Hamilton kepada syarikat kereta Korea dengan meletakkan kesalahan tersebut kepada pembuat kereta tersebut. 

“Kenderaan Kia dan Hyundai yang rosak telah menyebabkan krisis keselamatan awam di bandar itu membahayakan kesihatan, keselamatan dan keamanan semua orang yang tinggal, bekerja atau melawat bandar,” katanya.

image is not available
Gambar hiasan Unsplash

Dalam surat yang sama bertarikh 19 Ogos, Hamilton memberi amaran kepada pembuat kereta itu jika mereka gagal melaksanakan proses untuk mengurangkan kekacauan yang berlaku, beliau sendiri akan bertindak memfailkan saman ke atas mereka. 

Bagaimanapun Kia dan Hyundai turut menjalankan tanggungjawab mereka dan telah bekerjasama dengan penguatkuasa undang-undang serta majlis perbandaran di seluruh Amerika Syarikat  bagi mengurangkan kelemahan yang berlaku ini kepada pelanggan mereka termasuk mendermakan peralatan kunci roda.

Kini, mereka juga menawarkan kit immobilizer yang boleh dipasang di premis pengedar Kia dan Hyundai  untuk mengurangkan kes kecurian tersebut. - Getaran, 15 Oktober 2022 

View Original Article