KUALA LUMPUR - Penubuhan Persatuan Agensi Pemulihan Kredit Malaysia (AMCRA) disifatkan sebagai langkah penting buat industri pemulihan kredit Malaysia, selaras Akta Kredit Pengguna 2025 (Akta 873).
Presiden AMCRA, Rohan Jayaratnam berkata, sektor kredit Malaysia selama ini beroperasi dalam persekitaran yang berpecah belah, melibatkan piawaian berbeza dan penyelarasan formal yang terhad di seluruh industri.
Menurut beliau, pelaksanaan Akta Kredit Pengguna 2025 dan penubuhan Lembaga Pemantau Kredit Pengguna (CCOB) dilihat ramai sebagai satu perkembangan positif, khususnya dalam mengukuhkan keyakinan awam.
“Akta ini mewajibkan hanya agensi pemulihan hutang yang berdaftar dan berlesen sahaja boleh menjalankan aktiviti kutipan hutang, dan ia melarang keras amalan seperti gangguan, ancaman, intimidasi, dan penghinaan di khalayak ramai.
“Semua langkah ini bertujuan melindungi pengguna dan memastikan aktiviti pemulihan kredit dijalankan secara profesional dan beretika,” katanya.

Jelas Rohan, industri pemulihan kredit memainkan peranan penting dalam ekosistem kewangan, dengan menyokong pemberian pinjaman yang bertanggungjawab dan kestabilan kewangan.
“Kami menyambut baik Akta Kredit Pengguna dan penubuhan CCOB sebagai langkah penting ke arah mewujudkan persekitaran yang lebih berstruktur, telus, dan profesional bagi semua pihak berkepentingan,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, AMCRA sebagai platform bagi agensi berlesen untuk berinteraksi secara konstruktif dengan pengawal selia dan penggubal dasar.
“AMCRA ditubuhkan untuk memberi suara yang selaras kepada industri dan memudah cara penglibatan bermakna dengan CCOB.
“Objektif kami bukanlah untuk menentang peraturan, tetapi untuk menyokongnya dengan memastikan realiti industri difahami, amalan terbaik ditegakkan, dan piawaian etika diterapkan secara konsisten,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden AMCRA, Datuk Mohd Shahrom berkata, sektor pemulihan kredit menggaji ribuan rakyat tempatan dan membentuk rantaian kritikal antara pemiutang dan peminjam.
Pemimpin industri katanya, percaya peraturan yang lebih jelas dan pengawasan yang betul akan memberi manfaat bukan sahaja kepada institusi kewangan, tetapi juga kepada penghutang dengan mempromosikan layanan adil, mengurangkan salah laku, dan meningkatkan kepercayaan.
“Rangka rangka kerja baharu ini membentangkan peluang untuk memprofesionalkan lagi sektor tersebut.
“Persekitaran yang dikawal selia dengan baik menggalakkan tingkah laku yang bertanggungjawab dan meningkatkan piawaian secara menyeluruh. Apabila agensi beroperasi dalam garis panduan yang jelas, ia melindungi pengguna, menyokong pemiutang, dan mengukuhkan kredibiliti seluruh industri,” katanya.
Getaran diberitahu, mandat, objektif dan komitmen AMCRA akan diimumkan secara rasmi pada pelancaran persatuan berkenaan Khamis ini. - Getaran, 27 Januari 2026


