‘PenubuhanKonsulat India akan perkukuh hubungan dengan Sabah’

22 Jun 2026 • 4:52 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

‘PenubuhanKonsulat India akan perkukuh hubungan dengan Sabah’

Kota Kinabalu: Penubuhan Konsulat India di Sabah akan mengukuhkan hubungan dua hala dengan Malaysia selain membuka lebih banyak peluang dalam sektor pelancongan, perdagangan dan pertukaran budaya, kata Pemangku Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia Hitesh Rajpal.

“Apabila Konsulat itu ditubuhkan, misi diplomatik baharu ini akan mengukuhkan kehadiran dan penglibatan India di Sabah,” katanya.

Perdana Menteri India Narendra Modi mengumumkan langkah itu semasa lawatannya ke Malaysia pada Februari tahun ini.

Rajpal berkata hubungan erat antara India dan Malaysia yang terjalin sejak berabad lamanya berasaskan ikatan tamadun yang kukuh serta diperkukuhkan lagi oleh komuniti India yang aktif di Malaysia sekali gus menyediakan asas yang kuat untuk kerjasama dalam bidang budaya dan kesejahteraan.

“Hubungan kita terus berkembang dalam pelbagai bidang dan acara seperti ini memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat antara kedua-dua negara, selain mencerminkan semangat perkongsian strategik komprehensif antara India dan Malaysia,” katanya pada majlis pra-pelancaran sambutan Hari Yoga Antarabangsa 2026 di sini yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dilantik Datuk Roger Chin, baru-baru ini.

Program itu dianjurkan oleh Persatuan India Sabah bersama Peace House Kota Kinabalu, Yayasan Brahma Kumaris dan Sekretariat Seni, Budaya, Kerohanian dan Warisan India Universiti Malaysia Sabah.

Rajpal berkata inisiatif seperti sambutan Hari Yoga Antarabangsa terus mempererat hubungan rakyat kedua-dua negara sambil memperkukuh perkongsian strategik komprehensif antara India dan Malaysia.

Beliau turut menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan yoga dalam rutin harian kerana hanya 15 hingga 20 minit sehari mampu memberikan manfaat besar kepada kesihatan fizikal dan mental.

“Saya menggalakkan semua orang khususnya warga emas dan golongan muda, menjadikan yoga sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka.

“Janganlah kita mengehadkan amalan yoga hanya pada sambutan 21 Jun, sebaliknya terus mengamalkannya sepanjang tahun demi kekuatan fizikal dan kesejahteraan mental yang lebih baik,” katanya.

Rajpal turut menyeru peserta mempromosikan tema Hari Yoga Antarabangsa tahun ini ‘Yoga untuk Penuaan Sihat’ dalam kalangan keluarga dan komuniti masing-masing.

Beliau menegaskan semula komitmen Suruhanjaya Tinggi India untuk terus menyokong inisiatif budaya dan kesejahteraan yang dapat memperkukuh hubungan persahabatan yang telah lama terjalin antara India dan Malaysia.

Katanya, beliau berharap sambutan itu akan membuka jalan kepada lebih banyak program kerjasama antara India dan Sabah pada masa hadapan.

Mengenai tarikh penubuhan Konsulat India di Sabah, Rajpal berkata kerajaan India masih menunggu keputusan serta kelulusan daripada kerajaan negeri.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved