Penuhi tuntutan MA63, Sabah dan Sarawak layak Jawatan PM bukan TPM – Mohd Azis

LocalPolitics
25 Oct 2022 • 2:13 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Rakyat Sabah dan Sarawak menuntut agar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditunaikan bukannya hanya membuat pengumuman pemberian ‘gula-gula politik’ untuk Jawatan Timbalan Perdana Menteri mewakili Sabah atau Sarawak (Borneo).

Ketua Penerangan Parti Warisan (Warisan), Datuk Mohd Azis Jamman, berkata adakah Sabah atau Sarawak tidak layak menjadi Perdana Menteri (PM) Malaysia selepas PRU15 atau pada masa depan?

“Adakah Sabah dan Sarawak hanya layak setakat menduduki kerusi TPM manakala jawatan PM hanya dikhaskan kepada Malaya?

“Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal, pernah ditawarkan jawatan TPM semasa pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semasa Datuk Seri Ismail Sabri tetapi kita tolak.

“Apa yang rakyat Sabah dan Sarawak mahu ialah mereka persekutuan penuhi tuntutan MA63 dan perlu dilaksanakan dengan segera. Tiada lagi jawatankuasa, jangan berdolak-dalik lagi.

“Ketika ini kelihatan keadaan kewangan Persekutuan tidak akan bertambah baik. Kita khuatir ini hanya gula-gula PRU15.

“Kami mahukan keadilan serta kesaksamaan untuk Sabah dan Sarawak. Bukan membuat pengumuman memberikan jawatan TPM kepada Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Mohd Azis berkata, apakah maksudnya Sabah dan Sarawak serta Malaya adalah rakan kongsi yang sama sedangkan PM hanya untuk Malaya?

“Orang Sabah dan Sarawak bukan bodoh. Kami tidak mahu gula-gula PRU15 yang semata-mata janji demi janji, namun tiada banyak kemajuan apabila bercakap mengenai hak kami di kedua-dua negeri ini,” katanya.

Mohd Azis berkata, apa yang rakyat Sabah dan Sarawak mahukan ialah apa sahaja dipersetujui semasa pembentukan Malaysia oleh nenek moyang mereka mesti dipenuhi dengan segera tanpa sebarang penangguhan lagi.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.