
Kota Kinabalu: Penulis dan aktivis sastera di Sabah sentiasa kreatif dalam menghasilkan karya baharu yang bermutu sehingga ia mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan serantau, kata Penasihat Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa) Jamawi Ja’afar.
Katanya, setiap tahun banyak buku pelbagai genre yang diterbitkan dan dilancarkan di Sabah dan sebahagian besarnya mendapat pengiktirafan tertinggi negara seperti Hadiah Sastera Perdana Malaysia serta pelbagai anugerah lain.
“Ini mencapaian yang baik dan saya mengikuti perkembangan berkenaan sejak dahulu sehingga kini. Tiada apa yang boleh menghalang, jika penulis kita benar - benar gigih, berdisiplin dan sentiasa menajamkan daya kreativiti mereka.
“Ini kerana Sabah amat kaya dengan bahan penulisan berasaskan kearifan tempatan yang boleh diangkat ke mercu yang lebih tinggi,” katanya pada perasmian Festival Kesusasteraan dan Kesenian Antarabangsa Sabah Ke-2, (SILA) 2023. Turut dilancarkan, lima buku karya penulis Sabah dan Indonesia, yang diadakan di Dewan Seminar Institut Pendidikan Guru, Kampus Gaya di sini, Sabtu.
SPONSORED CONTENT Daily Express members: Enjoy 1 for 1 signature cocktails and more at Hyatt Centric Kota Kinabalu Kota Kinabalu: DAILY EXPRESS is partnering with Hyatt Centric Kota Kinabalu to offer an exclusive deal for our members. Read more Buku-buku yang dilancarkan itu ialah kumpulan puisi esei “Hujan Batu Yang ditadah dengan doa” karya Haliza Matali, Novel “Dayang Masniah” , karya Datuk Jamdin Buyong, novel “Puteri Bistari” Karya Ramlah Janang, buku kumpulan puisi “Surat Jibril” karya Maftuhah Jakfar dan novel “Roh Cincin Emas Putih” karya Salvia Rose. Turut hadir Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa) Datuk Jasni Matlani, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah Aminah Awang Basar, Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG), Kampus Gaya Gertrude Jock, Ketua Dua Persatuan Penulis Negara Brunei Darussalam, (Asterawani) Jawawi Haji Ahmad, Presiden Persatuan Penulis Johor Amiruddin Ali Hanapiah dan Pengerusi Pelaksana Festival SILA 2023 Hasmin Azroy Abdullah,.
Jamawi yang juga Pengerusi Sabah Urban Development Corporation berkata, beliau turut bangga dengan pencapaian yang diraih penulis Sabah dalam konteks pembangunan industri kreatif negeri itu, dan berharap momentum berkenaan akan berkekalan serta meningkat ke tahap lebih baik pada masa akan datang.
“Kita semua patut menyokong usaha penulis Sabah yang prolifik menghasilkan dan menerbitkan karya ini.
“Malah, saya sendiri akan membeli buku yang dilancarkan serta buku-buku karya penulis Bahasa yang lain berjumlah RM10,000. Buku-buku ini nanti akan disumbangkan kepada Pusat Sumber Institut Pendidikan Guru, Kampus Gaya serta beberapa sekolah terpilih di sekitar Kota Kinabalu,” kata Jamawi.
Jamawi juga optimis, sebahagian besar karya yang bermutu ini boleh diadaptasi ke dalam bentuk bidang seni lain, misalnya filem atau drama TV.
“Saya sendiri bersama Abdul Karim Gullam pernah mengadaptasi skrip teater “Sogit” menjadi drama bersiri TV sebanyak 24 episod yang disiarkan pada waktu Perdana di TV1.
“Ini satu pencapaian yang baik, dan menimbulkan kepuasan yang luar biasa kepada saya yang pernah terlibat dalam bidang seni ini suatu ketika dahulu,” katanya.
Sementara itu, Jasni mengucapkan terima kasih kepada Jamawi di atas kesediaan beliau membeli sejumlah buku karya penulis Sabah yang bernaung di bawah Bahasa, yang pada anggapannya amat memberangsangkan dan mengharukan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
