Penunggang motosikal maut digilis treler

26 Jan 2026 • 11:03 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anggota bomba menjalankan kerja mengeluarkan mangsa dalam kemalangan pada Isnin.

KAJANG – [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum terjatuh dan digilis treler dalam kemalangan di Kilometer 25.3 Lebuhraya Kajang–SILK, dari arah Semenyih ke Subang Jaya, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 9 pagi.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa yang berada di lorong kanan dipercayai hilang kawalan sebelum terjatuh ke laluan treler berkenaan.

“Akibat kejadian itu, mangsa termasuk ke bawah treler dan pemandu treler, lelaki warga tempatan berusia 53 tahun tidak sempat memberhentikan kenderaan lalu terlanggar penunggang motosikal terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal, lelaki warga tempatan berusia 47 tahun, mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nur Faezah Mohd Zakria di talian 012-326 8496,” katanya.

Sementara itu, penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada jam 9.10 pagi.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 9.25 pagi dengan kekuatan lima anggota menggunakan sebuah jentera.

"Kemalangan melibatkan sebuah treler serta sebuah motosikal di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, mangsa dipercayai penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Operasi dikawal sepenuhnya pada jam 9.30 pagi dan mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut," katanya.