Penunggang motosikal maut dilanggar lari

LocalCars
15 Dec 2024 • 3:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Motosikal mangsa rosak dirempuh sebuah kenderaan dalam insiden langgar lari di Ipoh. Foto: ihsan Polis

image is not available
Mangsa disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah selepas dirempuh sebuah kenderaan dalam insiden langgar lari di Ipoh. Foto: ihsan Polis

IPOH - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kenderaan dipercayai kereta dalam kejadian di Jalan Kuala Kangsar berhampiran Taman Klebang Jaya di sini pada Ahad.

Kejadian sekitar jam 3.30 pagi itu mengorbankan mangsa berusia 33 tahun akibat kecederaan parah di kepala dan leher.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan terlibat dipercayai hilang kawalan.

"Kenderaan tersebut telah memasuki laluan bertentangan lalu merempuh mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125 ZR dari arah Klebang menuju bandar Ipoh.

"Akibat kemalangan itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

Polis meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Edwin Tang di talian 016-5506863 atau hadir ke balai polis berhampiran.