LAHAD DATU - Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori dalam kejadian di pusingan U Kilometer 6 Jalan Lahad Datu-Sandakan di sini pada malam Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa berusia 53 tahun disahkan maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, hasil siasatan mendapati lori tersebut yang dipandu lelaki berusia 34 tahun dalam perjalanan dari arah Sandakan menuju ke Lahad Datu.
"Sebaik tiba di lokasi, pemandu tersebut telah membuat pusingan U untuk berpatah balik menghala ke arah Sandakan semasa kejadian, datang sebuah motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Lahad Datu.
"Disebabkan jarak yang terlalu dekat menyebabkan motosikal tersebut telah terlanggar bahagian tepi sebelah kiri lori dan akibat kejadian itu, mangsa telah meninggal dunia di lokasi," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Mana-mana individu yang melihat kejadian ini boleh terus menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu," katanya.






