Penunggang motosikal maut terpelanting dirempuh kereta

14 Mar 2025 • 12:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan motosikal dan kereta remuk selepas terlibat kemalangan. Foto Polis

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kereta di Jalan Alor Jambu, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9.15 malam semasa Muhamad Ali, 48, dalam perjalanan dari rumahnya di Padang Kemunting menuju ke Padang Nenas.

Beliau berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta Proton Saga yang dipandu lelaki berusia 22 tahun dipercayai telah melanggar motosikal itu dari belakang, mengakibatkan Muhamad terpelanting dan mengalami kecederaan parah.

Azli berkata, penunggang itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

"Pemandu kereta yang merupakan seorang peniaga di bazar Ramadan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Sehubungan itu beliau meminta saksi kejadian untuk tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama