Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap penunggang motosikal yang merempuh seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga mengalami kecederaan pada 17 September lalu.
Tertuduh, Nor Khairul Azwa Azizi, 25, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.
Tertuduh juga diperintah menjalani hukuman penjara selama tiga bulan, sekiranya gagal membayar denda yang dikenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja merempuh anggota penguatkuasa JPJ, Mohd Nurhakim Mohd Razif, 29. Dengan tujuan menghalangnya melaksanakan tugas penjawat awam dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kilometer 28, Lebuhraya Seremban – Port Dickson.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Izzaty Mohd Zainal terdahulu memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh agar tidak sesekali menghalang tugas penjawat awam.
Selain itu, mahkamah juga perlu menagmbil kira kecederaan yang dialami oleh mangsa.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu bagaimanapun merayu agar dikenakan hukuman denda minimum atas alasan dia telah dibuang kerja sebagai pengawal keselamatan. Malah dia perlu menanggung anak dan isterinya yang sedang mengandung.
Sebelum ini tular di media sosial video menunjukkan anggota JPJ dirempuh sehingga melambung, gara-gara tertuduh cuba melarikan diri untuk mengelak daripada ditahan dalam SJR tersebut.
Siasatan polis kemudian mendapati penunggang motosikal itu tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh sejak beberapa tahun lalu. Selain itu, tertuduh juga mempunya lapan rekod kes jenayah dan dadah.
Sumber: Harian Metro
The post Penunggang motosikal rempuh anggota JPJ, didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah atas tuduhan menghalang tugas penjawat awam appeared first on The Reporter.


