Penunjuk Perasaan Robohkan Pagar Parlimen Indonesia

WorldPolitics
30 Aug 2025 • 12:51 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

Jakarta – Ketegangan protes di ibu kota Indonesia memuncak apabila sekumpulan penunjuk perasaan bertindak merobohkan pagar sisi kompleks Parlimen, malam tadi.

Menceroboh Bawa Kayu Dan Batu

Insiden kira-kira jam 8 malam itu menyaksikan pagar di pintu masuk menuju Sekretariat Jeneral Dewan Perwakilan Daerah Republik Indonesia (DPD RI) patah sebelum beberapa individu menceroboh kawasan terbabit sambil membawa kayu buluh, batu dan botol air mineral.

Pasukan Brigade Mobil (Brimob) bersama Tentera Nasional Indonesia (TNI) segera menghalau kumpulan itu keluar selain membentuk barisan kawalan menggantikan pagar yang dirobohkan.

Bangunan Terbakar Di Hadapan Mako Brimob

Dalam kejadian berasingan, sebuah bangunan di hadapan Markas Komando (Mako) Brimob Kwitang terbakar sekitar jam 4.20 petang selepas perusuh merempuh kawasan itu susulan tindakan pasukan keselamatan melepaskan tembakan gas pemedih mata.

Kematian Affan Cetus Gelombang Kemarahan

Kebakaran berkenaan berlaku di tengah ketegangan berhubung kematian Affan Kurniawan, penunggang ojek dalam talian yang maut digilis kenderaan Brimob semasa demonstrasi di Jakarta awal minggu ini.

Tragedi itu mencetuskan gelombang kemarahan rakyat apabila ribuan orang membanjiri jalan raya menuntut keadilan serta mendesak kerajaan melaksanakan reformasi terhadap institusi keselamatan.

Protes yang pada awalnya berlangsung secara aman kini merebak ke beberapa bandar besar lain, bertukar ganas dengan aksi merempuh bangunan, membakar harta benda serta pertembungan dengan aparat keselamatan. – The Malaysian Update

The post Penunjuk Perasaan Robohkan Pagar Parlimen Indonesia appeared first on The Malaysian Update.