
SHAH ALAM - Walaupun bersaiz kerdil dan kekurangan dari segi fizikal, namun ia tidak pernah mematahkan semangat Nur Farthinie Abd Jalin, 24, untuk meraih kejayaan cemerlang apabila menerima Anugerah Naib Canselor dalam Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-100 pada Selasa.
Nur Farthinie yang memiliki ketinggian 135 sentimeter dan berat 36 kilogram merupakan graduan Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Perhubungan Awam.
Anak kedua daripada empat beradik itu memberitahu, saiz dan ketinggian bukanlah halangan untuk seseorang itu meraih kecemerlangan.
"Soal ketinggian dan berat badan tidak seharusnya menjadikan kita lemah, sebaliknya kita perlu lebih bersemangat dan menjadikannya sebagai sumber kekuatan kepada diri sendiri," katanya menerusi satu kenyataan UiTM pada Jumaat.
Penuntut yang berasal dari Klang itu memberitahu, setiap individu mempunyai kelemahan dan kekurangan masing-masing.
"Saya sangat bersyukur apabila terpilih menerima anugerah ini dan ia menjadi pembakar semangat dalam bidang kerjaya pula selepas ini," katanya yang kini sedang bekerja sebagai pegawai komunikasi di sebuah syarikat di Damansara.
Ditanya mengenai rahsia kejayaannya itu, Nur Farthinie berkata, amalan mengulang kaji pelajaran pada waktu malam antara yang dilakukannya bersama rakan lain.
"Kita perlu tahu bila masa paling sesuai untuk kita ulang kaji dan melakukan persiapan sebelum menjelangnya peperiksaan.
"Saya akui, memang pernah rasa burnout, tetapi tidaklah sampai memberi kesan kepada mental jika kita pandai menanganinya.
"Paling penting, saya akan ingat semula jasa mak dan ayah serta tekadkan dalam diri hendak habiskan pengajian untuk menggenggam ijazah," tambahnya.



