Penuntut Universiti Swasta Cedera Dikelar Bekas Teman Lelaki, Suspek Direman Hari Ini

15 Jul 2025 • 10:08 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang penuntut wanita warga asing cedera selepas dikelar di bahagian leher oleh bekas teman lelakinya dalam satu kejadian di sebuah universiti swasta di Subang, pada petang Isnin.

Penuntut wanita dikelar di tangan kiri

Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihak polis menerima laporan berhubung insiden tersebut pada jam 6.30 petang.

image is not available

Foto: Harian Metro

Siasatan awal mendapati, suspek berusia 21 tahun yang juga pelajar uiversiti sama telah mencederakan mangsa yang berusia 20 tahun menggunakan sebilah pisau.

“Mangsa yang dikelar mengalami kecederaan di leher sebelah kiri. Dia telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan kini dirawat di zon merah. Keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

Tambah beliau, suspek berjaya diberkas di lokasi kejadian sejurus selepas insiden berlaku. Bagaimanapun, motif kejadian masih dalam siasatan pihak polis.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pagi esok bagi permohonan reman,” ujarnya.

image is not available

Foto: Carian Google

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fadizah Ajamin di talian 019-8582166 atau Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di 03-78627100.

Sumber: Harian Metro (Raja Noraina Raja Rahim)