Penurunan harga minyak, ringgit kukuh mampu dorong AirAsia X raih hasil lebih baik pada 2H24 - Maybank IB
herman
29/08/2024 - 10:11
KUALA LUMPUR 29 Ogos - Harga minyak lebih murah dan pemulihan ringgit antara faktor yang dijangka membolehkan AirAsia X Berhad mencatatkan prestasi kewangan yang lebih baik pada suku ketiga dan keempat tahun kewangan 2024 (FY24).
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, selain itu pada suku tersebut juga lazimnya menyaksikan musim tambang tiket penerbangan yang lebih tinggi.
Firma penyelidikan itu juga percaya syarikat penerbangan tersebut telah menunjukkan prestasi yang baik pada 2Q24 memandangkan 2QFY24 lazimnya suku tahun yang lemah untuk AirAsia X.
"Kami menjangkakan 3QFY24 akan menyaksikan keputusan yang lebih baik memandangkan harga bahan bakar jet telah merosot kepada kira-kira AS$95/ setong dan Ringgit Malaysia telah pulih dengan ketara kepada RM4.34 daripada purata RM4.73 berbanding dolar AS dalam separuh pertama 2024.
"Menjelang 4QFY24, kami mengharapkan AirAsia X akan melaporkan keputusan yang lebih baik lagi berikutan permintaan dan tambang yang tinggi berdasarkan faktor musim.
"Kami menaikkan anggaran pendapatan FY24/FY25/FY26 sebanyak 88%/68%/61% dengan memotong ramalan harga bahan bakar purata kami kepada AS$105/setong daripada AS$110/setong," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Maybank IB dalam pada itu mengekalkan saranan 'Beli' dengan menaikkan harga sasaran (TP) AirAsia X kepada RM2.71 sesaham daripada RM1.88 sebelum ini.
"Usaha untuk mengumpul RM1.0 bilion dalam ekuiti sedang berjalan. AirAsia X juga menjangkakan dapat menyelesaikan pengambilalihan 5 syarikat penerbangan CAPITAL A menjelang akhir tahun ini," jelasnya.
AirAsia X Bhd semalam melaporkan kepada Bursa Malaysia peningkatan pendapatan sebanyak 30.4% mencapai RM669.1 juta pada 2QFY24, berbanding RM512.9 juta tahun lalu disokong permintaan kukuh di pasaran utama dan pengembangan kapasiti operasi kepada 16 pesawat.
Sepanjang suku tersebut, bilangan penumpang yang dibawa meningkat sebanyak 42% tahun ke tahun (YoY) kepada lebih daripada 880,000, melepasi pertumbuhan kapasiti tempat duduk sebanyak 30 peratus YoY.
Walau bagaimanapun, keuntungan bersih AirAsia X merosot kepada RM4.8 juta pada 2QFY24, turun sebanyak 13% daripada RM5.5 juta pada suku yang sama tahun lalu. - DagangNews.com

