
SEMPORNA: Beberapa jalan utama sekitar daerah ini akan ditutup serta lencongan trafik dilaksanakan secara berperingkat bermula 24 hingga 29 Jun sempena sambutan Regatta Lepa.
Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan penutupan dan lencongan jalan itu bertujuan memastikan kelancaran aliran trafik sepanjang sambutan yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Jun.
Ketua Polis Daerah Semporna Superintenden Tan Hiap Wah berkata pelaksanaan tersebut akan bermula jam 8 pagi pada 24 Jun hingga 12.01 tengah malam 29 Jun.
Beliau berkata antara jalan terlibat termasuk laluan masuk dan keluar KFC Semporna, sebahagian bulatan Gong ke Dataran Lepa (Jalan Causeway), laluan masuk dan keluar jalan Bank Simpanan Nasional (BSN), pintu masuk Dataran SCLV, laluan keluar Hotel Paly, laluan masuk dan keluar ke Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), belakang pasar raya Milimewa, hadapan Maybank serta laluan keluar Hotel City-Inn.
Lencongan trafik turut diaktifkan di hadapan Pasar Awam Tong Talun menuju Jalan Pasar Umum khusus untuk pengguna jalan raya yang ingin ke Bandar Baru Seafront dan arah bertentangan.
Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mematuhi arahan anggota bertugas serta merancang perjalanan bagi memastikan kelancaran trafik.


