
SEMPORNA: Tindakan Taman-Taman Sabah (TTS) bagi menutup sementara Pulau Sipadan dilihat sangat tepat agar khazanah marin yang terdapat di pulau ini akan kekal terjaga.
Pegawai Daerah Semporna, Alexander Liew, berkata penutupan itu juga dilihat perlu bagi memelihara dan memulihara khazanah yang terdapat di pulau ini.
“Kita sedia maklum bahawa Pulau Sipadan adalah syurga bagi penyelam dan ianya perlu dipelihara supaya hidupan marin yang terdapat di dasarnya kekal terjaga,” katanya.
Alexander berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah media mengenai penutupan sementara Pulau Sipadan yang dibuat oleh TTS.
Sementara itu, Alexander berkata, penutupan Pulau Sipadan ini tidak akan memberi impak besar atau menjejaskan sektor pelancongan di daerah ini.
Katanya, tempoh penutupan itu hanya sebulan dan Semporna mempunyai banyak lagi pulau serta destinasi menyelam menarik seperti Pulau Mabul, Kapalai dan Bohey Dulang.
Tambah beliau, sektor pelancongan di daerah ini tetap berjalan dan menerima kemasukan pelawat dari dalam dan luar negara seperti biasa.
Pulau Sipadan akan ditutup sepanjang November dan dibuka semula pada 1 Disember.
Penutupan itu adalah yang pertama sejak pulau ini dibuka semula selepas Pandemik Covid-19.
Tujuan penutupan sementara pulau ini adalah untuk memelihara dan memulihara ekosistem serta mengurangkan gangguan penyelam di pulau berkenaan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
