Penutupan Selat Hormuz boleh lonjakkan harga minyak mentah Brent kepada lebih AS$100 setong, kata CIMB Securities

WorldBusiness & Finance
23 Jun 2025 • 5:07 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penutupan Selat Hormuz boleh lonjakkan harga minyak mentah Brent kepada lebih AS$100 setong, kata CIMB Securities

image is not available

23/06/2025 - 17:07

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 23 Jun - Penutupan Selat Hormuz boleh menyebabkan ketegangan politik di Asia Barat meningkat dan menjejaskan bekalan minyak dunia terutamanya di Asia.

CIMB Securities berkata, jika penutupan selat itu benar-benar berlaku, harga minyak mentah Brent mungkin naik melebihi AS$100 (kira-kira RM428.70) setong kerana risiko pasaran yang meningkat.

Selat Hormuz adalah laluan penting untuk hampir 20% penghantaran minyak dunia.

Menurut unjuran Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (EIA), bekalan minyak global dijangka meningkat sebanyak 1.5% kepada 104.35 juta tong sehari pada tahun 2025.

Jika berlaku gangguan, ia boleh memberi kesan besar kepada pasaran tenaga dunia.

"Asia paling terkesan kerana negara seperti China, India, Jepun dan Korea Selatan menerima 69% minyak mentah dan kondensat yang melalui selat itu pada tahun 2024," katanya dalam satu nota kajian.

Gangguan bekalan minyak boleh menyebabkan harga minyak naik semula dan mendorong inflasi dalam ekonomi dunia.

CIMB Securities menjangka, harga minyak mentah Brent akan berada sekitar AS$85 (RM364.39) setong dalam masa terdekat, namun harganya dijangka kekal tidak stabil kerana risiko geopolitik masih tinggi.

Menurut analisis firma penyelidikan itu, jika bekalan minyak terganggu sebanyak 500,000 tong sehari, harga minyak boleh naik sekitar AS$10 (RM42.87) setong berdasarkan pengalaman krisis sebelum ini.

"Sebagai contoh, sekatan antarabangsa terhadap Iran pada tahun 2011 hingga 2012 menyebabkan bekalan susut 1.4 juta tong sehari dan harga minyak naik kira-kira AS$30 (RM128.61) setong.

"Namun kini, pasaran lebih bersedia kerana ada lebih banyak simpanan minyak," jelas CIMB Securities.

Opec+ dijangka mempunyai lebihan kapasiti minyak sebanyak 5.7 juta tong sehari, dengan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu menyumbang kira-kira 4.2 juta tong.

Namun, kebanyakan bekalan tersebut melalui Selat Hormuz, menjadikannya terdedah kepada gangguan.

CIMB Securities turut menyatakan, Dialog Bhd adalah antara syarikat yang boleh meraih manfaat jika harga minyak terus naik, kerana ia terlibat dalam sektor huluan minyak dan gas.

Dialog kini memiliki tiga aset pengeluaran utama iaitu pegangan penuh dalam kontrak perkhidmatan medan minyak Bayan, 20% pegangan dalam kontrak D35/D21/J4 dan 50% pegangan dalam konsesi L53/48 di Thailand.

"Aset-aset ini menyumbang sekitar 35% daripada keuntungan bersih Dialog bagi tahun kewangan 2024.

"Kami menganggarkan jika harga minyak Brent naik AS$10 (RM42.87) setong, ia boleh meningkatkan keuntungan bersih Dialog untuk tahun kewangan 2026 sebanyak 2%," kata CIMB Securities.

CIMB Securities juga menjangka purata harga minyak Brent pada tahun 2025 adalah sekitar AS$71 (RM304.38) setong. - DagangNews.com

featured standard