Penyakit jantung iskemik kekal punca utama kematian di Malaysia

LocalHealth & Fitness
6 Oct 2026 • 2:15 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Penyakit jantung iskemik kekal punca utama kematian di Malaysia

KUALA LUMPUR – Penyakit jantung iskemik (IHD) kekal menjadi punca utama kematian di Malaysia, dengan diabetes dan hipertensi merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada serangan penyakit kardiovaskular berkenaan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata data pada 2024 merekodkan sebanyak 17,421 kematian rakyat Malaysia yang berpunca daripada IHD, selain masalah paru-paru, strok dan kanser yang turut menjadi antara penyumbang tertinggi kematian dalam tempoh sama.

“Rakyat Malaysia hari ini berdepan dengan pandemik NCD (penyakit tidak berjangkit), setelah kita ditinggalkan oleh penyakit berjangkit yang namanya COVID-19, NCD ini lebih mencabar sebenarnya.

“Penyakit ini merupakan satu ancaman besar kesihatan awam dan kesejahteraan rakyat kerana NCD ini telah pun berlaku dalam kalangan golongan muda dan sering tidak disedari oleh penghidapnya kerana lazimnya tidak menunjukkan gejala atau simptom sehinggalah keadaan agak parah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) yang meminta kementerian menyatakan strategi untuk menangani peningkatan kes diabetes dan darah tinggi dalam kalangan belia bawah 40 tahun.

Dzulkefly berkata selain diabetes dan hipertensi, kadar kolesterol yang tinggi dan obesiti juga merupakan faktor utama mendorong kepada seseorang individu menghidap NCD.

Mengulas lanjut, katanya, dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan bahawa bagi kumpulan umur 18 hingga 29 tahun, dianggarkan sebanyak 192,464 orang menghidap diabetes dan 339,853 orang mengalami hipertensi.

“Namun, lebih lapan daripada 10 kes bagi kedua-dua penyakit masih belum diketahui atau didiagnosis,” katanya.

Bagi kumpulan umur 30 hingga 39 tahun pula, Dzulkefly berkata dapatan laporan itu menganggarkan sebanyak 378,508 orang menghidap diabetes dan 938,865 orang mempunyai penyakit hipertensi.

“Oleh itu, kementerian melaksanakan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan sejak 2022 bagi meningkatkan pengesanan awal faktor risiko NCD dalam kalangan individu berumur 18 tahun dan ke atas.

“Sehingga kini, 2,659,841 individu bawah 40 tahun telah disaring, dengan 339,854 dikesan mempunyai tekanan darah tinggi dan 176,415 mempunyai paras glukosa darah tinggi,” katanya.

Dzulkefly berkata mereka yang dikenal pasti berisiko atau berpenyakit akan dirujuk untuk tindakan susulan dan rawatan holistik oleh pasukan multidisiplin. – Bernama

The post Penyakit jantung iskemik kekal punca utama kematian di Malaysia appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved