Penyalahgunaan Dadah Makin Kritikal, Meningkat 32.5 Peratus Tahun Lalu - TPM

LocalPolitics
25 Sep 2025 • 3:04 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Penyalahgunaan dadah turut berlaku dalam kalangan kanak-kanak seawal usia 10 tahun - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR  – Penyalahgunaan dadah di Malaysia kini berada pada tahap kritikal apabila mencatatkan peningkatan sebanyak 32.5 peratus pada 2024 berbanding tahun sebelumnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, masalah itu turut berlaku dalam kalangan kanak-kanak, malah ada yang dikesan terlibat dengan najis dadah seawal usia 10 tahun. 

Menurut beliau, taktik pengedar yang memberikan makanan ringan seperti gula-gula mengandungi dadah secara percuma dikenal pasti sebagai antara punca utama.

“Saya telah membincangkan perkara ini dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan institusi prasekolah supaya ia dapat dibendung. 

“Usaha ini memerlukan kerjasama bukan sahaja daripada guru dan ibu bapa, tetapi juga seluruh komuniti,” katanya seperti dilaporkan BERNAMA dalam wawancara khas baru-baru ini.

image is not available
Ahmad Zahid Hamidi - Gambar fail

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Membanteras Dadah (JKMD), berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah termasuk memperkukuh kaedah pembelajaran bagi memerangi penyeludupan dadah, selain aspek pencegahan dan pemulihan.

Tegas beliau, agensi penguatkuasaan seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) perlu lebih kreatif dalam mengesan kaedah baharu penyeludupan dadah, termasuk penggunaan perkhidmatan penghantaran.

“Ada bungkusan yang kelihatan seperti barangan dibeli dalam talian, tetapi isinya ialah dadah. Mereka sangat kreatif dalam hal ini dan agensi penguatkuasaan perlu lebih peka serta proaktif,” katanya.

Masalah Merentas Kaum

Ahmad Zahid berkata, penyalahgunaan dadah adalah isu sejagat yang tidak mengira kaum dan negeri, dengan Kelantan merekodkan kadar ketagihan tertinggi, diikuti Terengganu, Perlis serta Kedah.

“Dalam jenayah dadah ini, ia benar-benar mencerminkan satu Malaysia. Pengedar besar kebanyakannya Cina, pengedar berorganisasi pula India, manakala pengedar runcit adalah Melayu,” katanya.

Statistik katanya, menunjukkan terdapat 436 penagih bagi setiap 100,000 penduduk pada 2023 dan jumlah itu meningkat kepada 586 pada 2024. 

“Setakat Jun tahun ini pula, kadar itu ialah 396 penagih bagi setiap 100,000 penduduk,” katanya.

Indeks Antidadah Dan Pelan Baharu

Bagi memastikan akauntabiliti dalam penguatkuasaan, pemulihan dan pencegahan, AADK kini sedang merangka pelan strategik baharu bagi tempoh 2026-2030,  berpandukan kepada Pelan Strategik KDN 2020-2025 dan KPI tahunan ditetapkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ahmad Zahid menarik perhatian, antara indikator kejayaan ialah Indeks Antidadah yang mencatatkan 68.3 peratus berdasarkan kajian Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 2024.

“Selain itu, kadar pemulihan klien, bilangan bekas penagih yang berjaya mendapat pekerjaan, tahap kesedaran masyarakat melalui Indeks Pemulihan Pemberdayaan Komuniti (CERI), serta kerjasama dengan agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan NGO turut menjadi penanda aras kejayaan,” katanya.

“Pengalaman ini membuktikan bahawa dengan kreativiti, latihan kemahiran dan peluang ekonomi, masalah dadah serta jenayah berkaitan boleh ditangani,” katanya. - Getaran, 25 September 2025