Penyasaran Subsidi Diesel Langkah Tepat Dan Berani - Ahmad Samsuri

12 Jun 2024 • 8:43 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar BERNAMA

KUALA TERENGGANU - Pelaksanaan subsidi diesel bersasar oleh Putrajaya dipuji kerajaan Terengganu yang menyifatkan ia sebagai langkah tepat dan berani.

Bagaimanapun Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan kerajaan supaya melaksanakan pengapungan harga diesel secara cermat supaya ia tidak membebankan rakyat.

“Kita sedar penyasaran subsidi memang perlu dilakukan bagi mengatasi masalah kebocoran dan ketirisan tanpa disedari, termasuk oleh syarikat tiada kaitan dengan kita.

“Tetapi, kerajaan Persekutuan perlu mengambil kira dan mengutamakan kesan, terutamanya kos sara hidup rakyat,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Conference Of Head Academic Departments 2024 di Kuala Terengganu.

Jelas Ahli Parlimen Kemaman itu, penyasaran subsidi diesel dilaksanakan secara berperingkat bagi mengurangkan kesan berantai kepada rakyat.

Ini kerana katanya, kenaikan harga diesel secara mendadak mula dirasai beberapa penyedia perkhidmatan dan pengeluar barangan yang mengumumkan kenaikan harga.

“Ini adalah satu cabaran sangat besar  buat kerajaan Persekutuan untuk menanganinya.

“Persoalan ini yang saya rasa tidak mudah untuk diselesaikan, tetapi saya mengucapkan selamat berjaya kepada pentadbiran kerajaan persekutuan,” katanya.

Ahad lalu harga diesel di seluruh negara diapungkan pada RM3.35 seliter susulan langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi bahan api.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu mampu memberi penjimatan RM4 bilion setahun dan memberi ruang fiskal lebih luas kepada kerajaan untuk meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kepada rakyat. - Getaran, 12 Jun 2024

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved