
KUALA LUMPUR - Rekod perakaunan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun berakhir 31 Disember 2024 telah diselenggara dengan teratur dan kemas kini, kata Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Mohd Radzi.
Dalam kenyataan hari ini, Wan Suraya memberitahu secara keseluruhannya, prestasi kewangan Kerajaan Persekutuan pada 2024 bertambah baik dengan penurunan defisit dan nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding tahun 2023.
Sambil memaklumkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2025 akan dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, Wan Suraya memberitahu, pada 2024, defisit tersebut telah menunjukkan penurunan sebanyak RM12.224 bilion kepada RM79.166 bilion berbanding RM91.390 bilion pada tahun sebelumnya.
“Nisbah defisit kepada KDNK turut berkurang kepada 4.1%, berbanding 5.0% pada tahun 2023, dan lebih baik daripada sasaran 4.3% yang ditetapkan dalam Belanjawan 2024.
“Pencapaian ini meletakkan asas kukuh untuk mencapai sasaran defisit jangka sederhana di bawah tiga peratus,’’ katanya.
Menurut Wan Suraya, antara isu terkait dalam laporan ini adalah Projek Pangkalan Operasi Hadapan Di Pulau Mabul, Semporna, Sabah yang sepatutnya siap pada 16 November 2024 namun masih belum disiapkan sehingga Julai lalu walaupun telah dirancang sejak 2016 dan diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).
“Antara isu utama yang dikenal pasti adalah kelewatan pembinaan Bangunan Penempatan
Semula (BPS), main building (selain dari BPS) masih belum siap dan pembinaan jeti yang belum dimulakan,’’ katanya.
Beliau menambah, mulai tahun ini, Jabatan Audit Negara telah memperluaskan pengauditan terhadap 1,856 badan lain termasuk syarikat melalui Sistem e-SelfAudit.
“Pengauditan Sistem e-SelfAudit mengadaptasi penggunaan pendigitalan dan teknologi terkini bagi membolehkan kesemua syarikat tersebut dapat diaudit setiap tahun dengan tiga elemen utama yang diaudit ialah pencapaian mandat dan objektif penubuhan; pematuhan aspek tatakelola dan prestasi kewangan.
“Sebanyak 13 Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2024 telah diaudit dan dikeluarkan Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Tanpa Teguran kepada empat negeri iaitu Melaka, Pahang, Pulau Pinang dan Terengganu.
Sementara Pendapat Tanpa Teguran dengan Perenggan Hal-hal Lain dikeluarkan kepada Johor, Perak, Kedah, Kelantan, Sarawak, Sabah, Negeri Sembilan, Perlis dan Selangor.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 yang akan dibentang dalam Dewan Rakyat pada hari ini, setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim terdiri daripada 14 naskhah termasuk satu naskhah di peringkat Persekutuan iaitu Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2024 dan Aktiviti Kementerian/Jabatan/Syarikat Kerajaan Persekutuan.
Sebanyak 13 naskhah lagi adalah LKAN peringkat negeri mengenai Penyata Kewangan Kerajaan dan Agensi Negeri.
Orang awam boleh melayarinya di pautan http://lkan.audit.gov.my dan https://agdashboard.audit.gov.my/ mulai hari ini, mulai 10.00 pagi.
Sebarang pertanyaan mengenai laporan berkenaan boleh diemel kepada jbaudit@audit.gov.my. - 6 Oktober, 2025
The post Penyata kewangan Kerajaan Persekutuan 2024 teratur: Laporan Ketua Audit Negara appeared first on Scoop.

