Penyatuan Melayu tanpa lebur ideologi politik

LocalPolitics
13 Sep 2026 • 7:29 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Penyatuan Melayu tanpa lebur ideologi politik

KUALA LUMPUR: Rumah Bangsa, Musyawarah Nasional dan Tafahum Siyasi adalah mekanisme terbaik bagi menjayakan usaha penyatuan Melayu tanpa perlu meleburkan identiti dan ideologi politik masing-masing.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, gagasan penyatuan Melayu perlu disusuli mekanisme yang jelas bagi memastikan usaha berkenaan dapat dilaksanakan.

“Apabila kita memahami dengan jelas idea penyatuan Melayu maka soalan besar yang berikutnya adalah bagaimana untuk kita menjayakannya?.

“Di sinilah Rumah Bangsa, Musyawarah Nasional dan Tafahum Siyasi menjadi mekanisme terbaik. Melalui Rumah Bangsa, orang Melayu bersatu tanpa perlu meleburkan identiti dan ideologi politik masing-masing,” katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2026, semalam.

Beliau berkata, Musyawarah Nasional pula penting bagi memastikan isu berkepentingan Melayu diperjuangkan secara bersama dan disuarakan sebagai satu suara.

“Melalui Musyawarah Nasional, kita akan pastikan isu-isu berkepentingan Melayu diperjuangkan secara bersama sebagai satu suara.

“Kita tidak mahu hanya menang sorak, tapi sebenarnya kampung tergadai,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, pendekatan politik masyarakat Cina turut menunjukkan bagaimana sesuatu kaum boleh terus memperjuangkan kepentingan bersama meskipun berada dalam parti politik yang berbeza.

“Dalam hal ini, mari kita lihat amalan dan pendekatan politik orang Cina. Terdapat satu ciri yang sangat penting untuk diberikan perhatian. Mereka mungkin berada dalam parti yang berlainan, tetapi mereka tidak pernah menumpukan kepada perbezaan.

“Mereka mungkin bertikam lidah, tetapi mereka tidak pernah benar-benar berpecah. Lihat sahaja bagaimana mereka memperjuangkan isu sekolah Cina, pengiktirafan UEC, kepentingan Kampung Baru dan pelbagai lagi kepentingan bangsa Cina.

“Apabila ada isu yang berkaitan dengan masa depan dan kepentingan orang Cina, akan ada yang menjerit, akan ada yang berbisik. Tetapi, mereka tidak akan berhenti bersuara bersama,” katanya.-UTUSAN.

The post Penyatuan Melayu tanpa lebur ideologi politik appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved