Penyatuan pekebun kecil dapat tambah hasil minyak sawit sehingga 600,000 tan setahun - Johari Ghani

19 Mar 2024 • 3:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penyatuan pekebun kecil dapat tambah hasil minyak sawit sehingga 600,000 tan setahun - Johari Ghani

herman

19/03/2024 - 15:40

KUALA LUMPUR 19 Mac - Langkah penyatuan pekebun kecil berpotensi menambah kapasiti pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) sebanyak 600,000 tan setahun.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pertambahan pengeluaran itu tanpa perlu melibatkan sebarang penggunaan tanah tambahan.

Katanya, setiap pekebun kecil secara purata menguruskan 4 hektar ladang dengan kebanyakan mereka berhadapan kesukaran meningkatkan hasil disebabkan keterbatasan mereka.

"Usaha Kementerian bagi membantu pekebun kecil adalah dengan menyatukan pekebun-pekebun kecil bebas menjadi kelompok kluster sekitar 8,000 hingga 10,000 hektar yang akan diuruskan dengan adil dari pemain ladang sederhana atau besar oleh pasukan yang berdedikasi.

"Kita tidak mahu terdapat banyak pokok lama sehingga tiada siapa yang mengendalikannya dan terbiar," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) di pejabatnya.

Menurut Johari, pertemuan bersama jawatankuasa PKPKM adalah untuk membincangkan isu dan permasalahan pekebun-pekebun kecil.

Katanya, antara perkara yang dibincangkan adalah produktiviti, kekurangan tenaga kerja, isu peranan orang tengah, soal penanaman semula dan isu-isu yang berkaitan dengan pekebun kecil sawit serta getah secara keseluruhan.

"Menjadi keutamaan kerajaan untuk menjaga pekebun-pekebun kecil dan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sedang merancang untuk melaksanakan model perniagaan yang boleh menyatukan pekebun-pekebun kecil sawit bebas," jelasnya.

Sementara itu, PKPKM menyambut baik usaha Kerajaan mengelompokkan pekebun kecil bagi menyelesaikan pelbagai isu antaranya isu harga dan produktiviti.

Kata persatuan itu, peluang bertemu Johari dimanfaatkan bagi membincangkan berkenaan isu dan permasalahan pekebun kecil. - DagangNews.com