Penyatuan ummah: ‘Ini cerita sekerat-sekerat' - Marzuki jawab dakwaan Abdul Hadi

LocalPolitics
13 Jun 2026 • 4:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penyatuan ummah: ‘Ini cerita sekerat-sekerat' - Marzuki jawab dakwaan Abdul Hadi
Kenyataan Marzuki di Facebook pada Sabtu.

SHAH ALAM - Dakwaan bahawa Pas memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu menolak penyatuan ummah dianggap tidak menggambarkan keseluruhan fakta sebenar rundingan politik dalam Perikatan Nasional (PN).

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mendakwa, naratif yang dikemukakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu hanya menceritakan sebahagian kecil daripada proses panjang rundingan politik berkenaan.

“Presiden Pas kata antara sebab Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu ialah kerana Bersatu menolak penyatuan ummah. Alasannya ialah Bersatu menolak permohonan beberapa parti Melayu-Islam untuk menyertai PN.

“Ini cerita sekerat-sekerat. Jika ikhlas, ceritalah keseluruhannya. Orang pertama yang membawa parti-parti Melayu-Islam seperti Parti Berjasa Malaysia (Berjasa), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) ke dalam rangkaian PN ialah Muhyiddin,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Marzuki memaklumkan, semua parti berkenaan kemudian dirangkumkan dalam sebuah gabungan strategik parti pembangkang pro-PN iaitu Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).

Menurutnya, pada peringkat awal, Pas dilihat mengambil sikap dingin terhadap IPR apabila tidak menghadiri mesyuarat pertama gabungan berkenaan, manakala kehadiran dalam mesyuarat seterusnya juga disifatkan sebagai tidak konsisten.

“IPR ditubuhkan ketika Muhyiddin Pengerusi PN. Pada peringkat awalnya Pas mengambil sikap dingin terhadap IPR. Mesyuarat pertama IPR tidak dihadiri oleh wakil Pas. Beberapa mesyuarat selepas itu wakil Pas hadir tetapi komitmen Pas terhadap IPR agak hambar.

“Pada ketika itu, Bersatu tak kata Pas menolak penyatuan ummah. Kemudiannya, parti-parti Melayu-Islam dalam IPR memohon untuk menyertai PN dan permohonan mereka dipertimbangkan beberapa kali dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN.

“Keputusan MT PN setiap kali perkara ini dibincangkan ialah wujudkan pakatan pilihan raya atau ‘electoral pact’ dahulu dengan parti-parti ini. Bukan menerima mereka sebagai anggota PN. Keputusan ini dibuat secara kolektif oleh ahli-ahli MT PN termasuk wakil Pas,” ujarnya.

Jelasnya, ‘electoral pact’ berkenaan juga satu bentuk kerjasama yang membawa kepada penyatuan dari segi gerak kerja politik untuk memenangi pilihan raya.

Marzuki menegaskan, pada waktu itu juga tidak timbul soal Bersatu atau Pas menolak penyatuan ummah.

“Namun, Presiden Pas tuduh Bersatu menolak penyatuan ummah semata-mata kerana dalam mesyuarat MT PN yang terakhir Bersatu mempertahankan keputusan yang telah dibuat oleh MT PN sebelumnya, iaitu PN mengadakan ‘electoral pact’ dengan parti-parti ini tanpa menerima mereka sebagai parti anggota.

“Kalau dahulu tak dikatakan menolak penyatuan ummah, kenapa sekarang dituduh sedemikian rupa? Adilkah?” kata beliau.

Terdahulu, Abdul Hadi dilapor mendakwa Bersatu cuba melemahkan peranan Pas yang meneroka perubahan politik dengan menghalang penyertaan parti yang lebih banyak dalam PN.

Ujarnya, ia khususnya melibatkan parti Melayu-Islam seperti Berjasa, Pejuang, Iman dan Putra serta MIC yang merupakan parti bukan Islam yang tidak ekstrem.