JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor akan bertindak tegas terhadap sebarang ajaran menyimpang yang boleh mengelirukan umat Islam.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, beberapa klip video menunjukkan individu yang menggelarkan diri sebagai “Ratu Nur Putri Ratu Balqis” mendakwa dirinya sebagai “Ruhul Qudus, Ruhul Amin, Raja Muhammad atau alam nyata aku dahulu Muhammad Putra Aminah” tular sejak minggu lalu.
Jelasnya, individu terbabit turut didapati mempersendakan kemuliaan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.
Selain itu, MAINJ menerima aduan berhubung penyebaran ajaran “God, The Mother” yang didakwa sesat, melalui edaran bercetak di sebuah pusat beli belah, Kulai pada Khamis.
"Mesyuarat Penuh MAINJ Kali ke-293 yang berlangsung pada Selasa menegaskan, sebarang ajaran yang menyimpang daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, aliran Asya’irah dan Al-Maturidiah wajib dibanteras.
"Tindakan bersepadu antara Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah digerakkan susulan Mesyuarat Membanteras Ajaran Menyimpang pada Isnin," katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau, individu yang terlibat boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 298, 500, 505(b) Kanun Keseksaan serta Enakmen Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan sebarang ajaran menyimpang dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat kes sebegini," katanya.


