Penyebaran Berita Palsu Krisis Tenaga Global: MCMC Buka 36 Kertas Siasatan, 22 Individu Disiasat

LocalPolitics
8 Apr 2026 • 11:56 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuka sebanyak 36 kertas siasatan berkait penyebaran berita palsu di media sosial dan media digital, melibatkan krisis tenaga global.

MCMC dalam satu kenyataan berkata, susulan itu, 22 individu dari pelbagai lokasi di seluruh negara telah dipanggil untuk rakaman percakapan bagi membantu siasatan.

Manakala sebanyak enam (6) kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya bagi penelitian dan tindakan selanjutnya.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.”

MCMC dalam masa sama menegaskan pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan media digital yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.

“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada,” kata MCMC lagi.

Suruhanjaya itu turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan platform media sosial dan media digital serta tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi dengan memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam.