Penyedia Media Sosial Di Malaysia Hanya Mempunyai Empat Hari Sahaja Lagi Untuk Mohon Lesen

TechnologyDigital
27 Dec 2024 • 2:26 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Penyedia platform media sosial diminta segera mendaftar lesen perkhidmatan masing-masing menjelang penguatkuasaan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi yang akan berkuatkuasa bermula 1 Jan 2025. Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata tarikh akhir mengemukakan permohonan adalah 31 Disember iaitu empat hari sahaja lagi.

Seperti yang kami laporkan semalam, setakat ini hanya Telegram dan WeChat sahaja telah memulakan proses pelesenan yang diperlukan untuk beroperasi di Malaysia. Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil telahpun mengatakan lapan platform media sosial iaitu WhatsApp, Facebook, Instagram, X, YouTube, Telegram, WeChat, dan TikTok perlu memohon lesen kerana mempunyai sekurang-kurangnya 8 juta pengguna di Malaysia.

image is not available

Dengan pejabat operasi sudahpun ditutup sempena cuti perayaan Hari Krismas dan tahun baharu, adalah sukar melihat baki enam lagi platform di atas melakukan permohonan lesen sebelum berakhirnya 2024. Selain memohon lesen, kelapan-lapan platform ini perlu mempunyai pejabat operasi di Malaysia bagi memudahkan urusan dengan kerajaan.

Sebelum ini Fahmi Fadzil mengingatkan keperluan pelesenan itu bertujuan untuk memastikan penyedia perkhidmatan bertanggungjawab, serta memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan platform digital lebih selamat untuk pengguna khususnya kanak-kanak dan keluarga. Pelaksanaan ini juga bertujuan untuk menangani jenayah dalam talian tanpa menyekat inovasi malah dikatakan tidak menjejaskan pengguna.

Sekiranya gagal mendapatkan lesen, Kementerian Komunikasi tiada perancangan untuk menyekat akses ke lapan media sosial pada ketika ini.