SHAH ALAM, 16 OKT: Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang turun padang membantu penduduk yang terkesan dengan kejadian tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati, di sini semalam.
Juwairiya Zulkifli berkata pihaknya akan menyelia bantuan seperti diperlukan penduduk berkenaan.
“Pusat Khidmat Penyelaras DUN Hulu Kelang turun padang meninjau keadaan semasa dan kami mengedarkan bantuan makanan tengah hari untuk mangsa terjejas,” katanya menerusi Facebook.
Insiden tanah runtuh yang berlaku kira-kira 10.15 pagi semalam, akibat hujan lebat menyebabkan penghuni 20 rumah di Taman Melawati mengosongkan kediaman masing-masing.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shaari membuat tinjauan di kawasan kejadian hari ini. Beliau turut mengumumkan bantuan RM500 kepada setiap keluarga.

23 mangsa dari tujuh keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Jalan E5 dan selebihnya memilih tinggal bersama keluarga lain.
Dalam tinjauan berkenaan Amirudin berkata sistem saliran tersumbat dengan batu dan tanah menjadi punca tanah runtuh di kawasan berkenaan.
Menurutnya Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membuat serahan notis kepada pemilik tanah untuk menyelenggara longkang bagi mengelak kejadian sama berulang kerana tanah itu milik persendirian.
Sementara itu Juwairiya turut mengucapkan terima kasih kepada MPAJ, anggota polis dan bomba serta Ahli Majlis Zon 1 atas tindakan pantas selepas kejadian berlaku.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

The post Penyelaras DUN Hulu Kelang santuni penduduk terjejas tanah runtuh di Taman Melawati appeared first on Selangorkini.


