Penyelia syarikat ditahan edar dadah lebih RM25,000

19 Oct 2022 • 12:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Selain dadah, polis turut menyita telefon bimbit, cincin, wang tunai dan kereta yang dimiliki suspek. - Foto ihsan polis

image is not available
Polis merampas pelbagai dadah yang dibawa seorang lelaki di sebuah kondominium di Taiping. - Foto ihsan polis

TAIPING - Polis menahan seorang lelaki dipercayai pengedar dan merampas pelbagai dadah bernilai RM25,550 dalam serbuan di sebuah kondominium di sini pada Isnin.

Suspek berusia 36 tahun itu ditahan sekitar jam 9 malam pasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, pemeriksaan pada beg galas menemukan 27 peket dadah jenis ekstasi seberat 1kg, 200 biji pil eramin 5, 51.25 gram ketamin dan 23 biji pil ekstasi.

"Suspek yang bekerja sebagai penyelia di salah sebuah syarikat pinjaman wang berlesen dipercayai bergiat aktif sejak Ogos lalu di daerah ini.

"Suspek yang juga mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan judi itu turut positif dadah jenis benzo," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, dadah tersebut disyaki untuk pasaran tempatan dan boleh digunakan kepada lebih 500 orang penagih.

Polis turut menyita sebuah kereta jenis Honda Accord, dua cincin, telefon bimbit jenama Huawei dan wang tunai RM700 membabitkan jumlah sitaan RM153,900.

"Suspek kini direman sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.