
Penyelia syarikat tertipu lebih RM300K di Sibu
Penyelia Syarikat Rugi Lebih RM 300K Tertipu Pelaburan Kripto Tidak Wujud Di Media Sosial. Dilaporkan, seorang penyelia syarikat di Sibu telah mengalami kerugian RM331,050 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud menerusi Facebook.

Berminat dan mengikuti pelaburan kripto menerusi Facebook
Menurut Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili, lelaki berusia dalam lingkungan 60-an itu pada 15 November 2023 mula berminat dan mengikuti pelaburan kripto menerusi laman sosial berkenaan.
Dikatakan, mangsa telah berhubung melalui nombor telefon yang tertera di laman Facebook dan suspek memperkenalkan diri sebagai cikgu atau ‘tutor’ yang bernama ‘Gabriel Lee.’
Suspek telah memasukkan mangsa ke dalam satu kumpulan WhatsApp atas nama ‘188-Financial Century’ untuk melihat sendiri pelaburan kripto yang dikendalikan oleh suspek,” kata beliau dalam satu kenyataan media, hari ini.
Jelas beliau lagi, mangsa bersetuju untuk membuat pelaburan saham kripto dan dikehendaki untuk memuat naik dan mendaftar satu akaun pelaburan menerusi aplikasi Kakaue bagi tujuan pelaburan dan kemasukan hasil keuntungan yang akan diperolehi.
Suspek turut mengarahkan mangsa untuk membuat pembayaran modal bagi pelaburan kripto secara berperingkat bagi mendapatkan keuntungan.
“Bermula tempoh 19 Mac hingga 23 Mei 2024, mangsa telah membuat pembayaran pelaburan sejumlah RM331,050 sebanyak 11 kali transaksi ke dalam lapan akaun bank syarikat dan individu yang berlainan seperti mana diarahkan oleh suspek,” ujar beliau.

Zulkipli berkata, setelah kesemua transaksi dibuat, mangsa yang membuat semakan menerusi aplikasi Kakaue mendapati jumlah keuntungan terkumpul miliknya adalah sebanyak (matawang kripto) USDT3,610,730.8963.
Mangsa yang kemudiannya menghubungi suspek semula untuk mendapatkan wang pelaburan pada 20 Jun lalu tetapi suspek mengatakan mangsa perlu membuat pembayaran deposit terlebih dahulu bagi urusan caj perkhidmatan pertukaran wang daripada USDT kepada Ringgit Malaysia (RM).
Sehingga laporan dibuat, mangsa tidak menerima apa-apa pulangan dan keuntungan seperti yang dijanjikan dan mendapati dirinya telah ditipu,” tambah beliau.

