
Penyelidik Dakwa Gunung Padang Di Indonesia Mungkin Piramid Tertua Di Dunia
Sebut sahaja Piramid, pastinya terlintas di fikiran setiap orang bahawa struktur binaan kuno itu terletak di negara padang pasir, Mesir.
Namun, siapa yang menyangka struktur yang menjadi salah satu keajaiban dunia itu juga dipercayai terdapat di Indonesia.
Memetik Kompas, dalam satu kajian yang dilakukan oleh penyelidik mendakwa Gunung Padang di Sumatera Barat Indonesia berkemungkinan adalah piramid tertua di dunia.
Penemuan itu dilakukan oleh sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Danny Hilman Natawidjaja dalam satu jurnal bertajuk Archaeological Prospection.
Difahamkan, kajian tersebut dijalankan bersama ahli pasukan di lokasi tersebut sejak November 2011 hingga Oktober 2014, lapor BBC News Indonesia.
Kajian itu melibatkan kaedah pemetaan landskap dan permukaan tapak, penggerudian teras, parit dan teknik geofizik bersepadu yang melibatkan kaedah Tomografi Kerintangan Elektrik (ERT) dua dimensi dan tiga dimensi, serta Ground Penetrating Radar (GPR).
Bentuk Piramid Gunung Padang

Danny berpendapat bahawa Gunung Padang bukanlah sebuah bukit semula jadi, tetapi sebuah binaan berbentuk piramid yang berlapis-lapis.
Katanya, piramid itu dikategorikan kepada tiga lapisan yang berbeza.
Lapisan pertama (paling atas) dipenuhi dengan tanah, tumbuh-tumbuhan yang berusia antara 1,000 tahun hingga 2,000 tahun sebelum Masihi.
Manakala lapisan kedua pula terdiri daripada pecahan batu kolum sepanjang 1 meter yang dianggar berusia 5,000 hingga 6,000 tahun sebelum Masihi.
Lapisan ketiga atau yang tertua pula berusia sekitar 16,000 hingga 27,000 tahun sebelum Masihi. Ini bermakna ia lebih tua 10,000 tahun dari Piramida Giza di Mesir dan Stonehenge yang terkenal di England.
Pada lapisan terakhir ini, terdiri daripada batuan lapuk, tanah liat, kerikil dan batu gunung berapi yang tidak dikenal pasti. Selain itu, terdapat juga batuan kolum dalam bentuk tiang menegak.

“Gunung Padang merupakan bukti luar biasa, yang berpotensi menjadi piramid tertua di dunia,” katanya.
Tambahnya, bahagian utama piramid itu dipercayai berasal daripada bukit lava yang terbentuk secara semula jadi sebelum dipahat dan diselimuti lapisan batuan konkrit.
“Binaan tertua itu berkemungkinan berasal dari Bukit Lava semula jadi sebelum diukir secara seni sewaktu zaman ais terakhir antara 25,000 hingga 14,000 sebelum Masihi,” katanya lagi menerusi Kompas.
Lebih-lebih lagi, penemuan itu bertentangan dengan garis masa peradaban manusia dan perkembangan teknik binaan yang muncul sewaktu era Holosen awal dan Neolitik Awal.

“Tukang binaan pada lapisan ketiga dan kedua di Gunung Padang pasti memiliki kemahiran yang tinggi kerana tidak seiring dengan budaya mereka yang merupakan pemburu,” jelas Danny.
Bagaimanapun, dakwaan tersebut ditepis oleh seorang ahli arkeologi dari Jawa Barat, Dr Lutfi Yondri, yang tidak bersetuju dengan hasil kajian itu, lapor BBC News Indonesia.
Menurutnya, beberapa kajian lepas menunjukkan Gunung Padang yang terletak di Kabupaten Cianjur, Jawa Barat sebenarnya telah diteliti dan terdapat dalam catatan yang ditulis oleh Verbeek pada tahun 1981 dan Krom pada tahun 1914.
Penerangan awal daripada dua rekod tersebut menggambarkan Gunung Padang sebagai tanah perkuburan purba di atas timbunan tanah.
Namun, tiada kesan peninggalan kubur ditemui ketika penyelidikan dijalankan yang dimuatkan dalam disertasinya pada 2016.
Selain itu, beliau percaya bahawa Indonesia tidak mempunyai kaitan budaya untuk membina piramid.
“Adakah Indonesia pernah ada budaya piramid? Jangan reka-reka,” katanya.
Untuk makluman, Gunung Padang pertama kali ditemui oleh penjajah Belanda pada 1980.
Sumber: Kompas, BBC News Indonesia
The post Penyelidik Dakwa Gunung Padang Di Indonesia Mungkin Piramid Tertua Di Dunia appeared first on Siakap Keli.


